Bismillahirrahmanirrahim.
"Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang bertakwa." Surah Thahaa : ayat 132
Suatu pagi,saya membaca tentang keberkatan rezeki, saya tertarik pada sebuah cerita untuk dikongsikan bersama dengan teman-teman. Keberkatan rezeki yang menjadi darah dan daging sangat-sagat penting untuk diutamankan. Kisah ini adalah kisah bagaimana seorang wanita di zaman Imam Hanbali berusaha menjaga dan menitikberatkan soal keberkatan rezekinya.
*******

Selepas Asar, Imam Hanbali menasihati orang ramai di dalam masjid. Saat itu perbualannya terhenti seketika apabila seorang perempuan muda masuk ke dalam masjid menemui Imam Hanbali.
“Wahai Imam Hanbali, dengarkanlah kisah ku ini semoga diriku dan dirimu mendapat keampunan dari Allah. Sesungguhnya saya ini perempuan yang miskin. Saya tidak punya apa-apa kecuali tiga orang anak yang masih kecil.
Hidup saya sungguh melarat, hinggakan kami tidak punya lampu untuk menerangi rumah. Bagi menyara kehidupan kami empat beranak, saya berkerja memintal benang pada waktu malam dan menjualnya di pasar pada siang hari.”
“Dimanakah suami kamu?’ soal Imam Hanbali.
“Dia antara mereka yang menentang Khalifah al-Muktasim yang zalim itu. Dia gugur syahid dalam satu pertempuran dengan pasukan tentera yang hendak menangkap mereka. Sejak itu kami hidup melarat.” jawab wanita itu.
“Teruskan cerita kamu.” pinta Imam Hanbali.
“Disebabkan rumah saya tidak ada lampu, maka saya terpaksa menunggu sehingga bulan mengambang barulah saya dapat memintal benang.” kata wanita itu.
“Pada suatu malam, ada kafilah dagang dari Syam datang lalu singgah bermalam berhampiran dengan rumahku. Mereka membawa lampu yang banyak sehingga menerangi rumahku. Kesempatan ini digunakan untuk aku memintal benang dengan bantuan cahaya lampu mereka.”
“Persoalannya, apakah hasil jualan benang yang dipintal itu daripada lampu mereka itu halal untuk digunakan?” soal wanita itu setelah menceritakan dengan panjang lebar permasalahannya.
“Siapakah kamu wahai wanita muda yang begitu mengambil berat tentang hukum agama di saat manusia begitu kikir dengan hartanya?’ soal Imam Hanbali dengan penuh kekaguman.
“Saya adalah adik kepada Basyar Al Hafis yang telah meninggal dunia.” jawab wanita itu.
Mendengar jawapan itu, Imam Hanbali berasa sebak dan tersedu-sedu menahan esak. Ini kerana dia teringat dengan Basyar, seorang gabenor yang beriman dan beramal soleh.
“Sesungguhnya, saya takut dengan azab Allah. Maka berikanlah masa kepada saya untuk menjawab persoalan itu. Baliklah ke rumah dahulu, kemudian datang keesokan harinya.” kata Imam Hanbali.
Keesokan harinya, datang wanita muda itu untuk mendengar jawapan dari Imam Hanbali.
“Wahai wanita solehah, sesungguhnya kain penutup muka yang kamu pakai itu adalah lebih baik dari serban yang aku pakai. Sesungguhnya kamu seorang wanita yang mulia, bertakwa dan penuh takut kepada Allah.”
“Wahai tuan, bagaimana dengan pertanyaan saya semalam?” tanya wanita muda itu.
“Berkenaan dengan itu, sekiranya kamu belum mendapat keizinan daripada rombongan tersebut, maka tidak halal kamu menggunakan wang dari hasil jualan benang yang dibuat menggunakan lampu mereka.” jawab Imam Hanbali.
Wanita itu berasa susah hati mendengarnya. Dia susah hati kerana belum mendapat keizinan dari rombongan tersebut. Beliau sanggup menemui seorang demi seorang rombongan tersebut untuk meminta izin.
Berita tentang wanita solehah itu sampai ke pengetahuan Khalifah al-Mutawakkil. Beliau begitu kagum dengan wanita tersebut dan menghadiahkan wang sebanyak 10 ribu dinar.
Perempuan itu bertanya kepada Imam Hanbali, adakah wang itu halal digunakan atau tidak.
“Khalifah juga pernah memberikan saya wang sebanyak itu, tapi saya sedekahkan kepada fakir miskin yang saya temui di tengah jalan.” jawab Imam Hanbali.
Maka, wanita solehah itu telah memberi sedekah kepada fakir miskin. Dia hanya mengambil sedikit sahaja wang itu untuk dibelinya lampu bagi menerangi rumahnya.
******************************
Saya paling suka part Imam Hanbali berkata : “Siapakah kamu wahai wanita muda yang begitu mengambil berat tentang hukum agama di saat manusia begitu kikir dengan hartanya?’
Saya kongsikan juga bersama kalian, betapa agungnya firman Allah tentang rezekiNYA.
"Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)". Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dia lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.". Surah Saba' : ayat 39
Juga sabda Rasulullah,
"Tidaklah ada makanan seseorang itu yang lebih baik daripada apa yang dimakannya dari hasil usaha tangannya sendiri". (Riwayat al-Bukhari)
Sesungguhnya yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, di antara perkara halal dan haram dinamakan syubhat yang tidak diketahui oleh ramai. Sesiapa yang menjauhi dari perkara syubhat sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehidupannya, barang sesiapa yang melakukan perkara syubhah sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang haram. (Riwayat Bukhari dan Muslim]
Hadis ini jelas menerangkan tentang halal dan haram sesuatu sumber sama ada sumber makanan ataupun sumber pendapatan.

Perkongsian,
Rohayu Rusli,
Pasir Puteh, Darul Naim.

0 comments:

WELCOME TO THIS SITE!