wardina & irma hasmie


Akhir-akhir ni, tudung muslimah muncul dengan pelbagai jenis fashion yang cantik dan menarik. Arini dan sebagainya. Saya juga melihat dengan positif penghijrahan beberapa orang selebriti terkenal tanahair yang memakai tudung seperti Catriona Ross, Farah penyanyi keluaran Akademi Fantasia, pelakon Irma Hasmie, penyanyi terkenal Aisyah dan ramai lagi. Sejuk mata memandang. Cantik dan penuh kesopanan.

Jika sebelum ini fenomena artis bertudung hanya melibatkan artis-artis nasyid dan hiburan berunsur keagamaan namun  kini, dunia hiburan makin meriah dengan kehadiran artis-artis yang bertudung serta baru mulakan hijrah memakai tudung. Baik dalam bidang nyanyian,lakonan,pengacaraan ataupun mana-mana bidang yang berkaitan hiburan, kemunculan artis-artis bertudung kian mendapat tempat malah model bertudung juga kian ramai.

Saya meraikan hasrat hati mereka untuk bertudung dengan harapan yang positif moga penghijrahan itu benar tulus dari hati untuk menutup aurat, bukannya disebabkan memakai tudung yang berfesyen itu suatu kemegahan dan kecantikan yang dibanggakan ramai. Dan biarlah definisi tudung itu tidak hanya tudung kepala, malah seluruh anggota juga tidaklah dipakaikan pakaian yang ketat hingga Nampak seperti ‘berbalut’. Betudung kepala namun ketat dan sendat bahagian lainnya. Mudah-mudahan penghijrahan mereka juga penghijrahan yang mampu diikuti.

Melihat fenomena dunia hari ni, anak muda banyak yang memilih selebriti dan artis sebagai idola. Malah ada yang meniru satu persatu tentang idolanya itu,daripada cara berpakaian hinggalah bercakap dan sebagainya. Jadi, elok benarlah jika artis dan selebriti yang bertudung menggunakan peluang pneghijrahan diri mereka ini sebagai peluang dakwah untuk mengajak bersama pemudi dan wanita yang diluar sana yang masih lagi mempertontonkan rambutnya. Secara tidak langsung ia mengubah dan mengajak masyarakat kea rah kebaikan,walaupun sedikit demi sedikit.

Saya terdetik untuk berkongsi dengan pembaca sekalian tentang bagaimana kisah penghijrahan pelakon Catriona Ross ataupun dikenali sebagai Cat. Bagaimana beliau yang tidak bertudung tergerak hati untuk memakai tudung.
Catriona Ross


Dia menceritakan, bagaimana dia terniat untuk memakai hijab. Dengan bersungguh dia menceritakan, dan setiap kali dia bercerita mengenainya, air mata tidak putus mengalir, menandakan betapa manisnya iman

Ketika itu dia pergi ke butik bersama kawan, yakni butik tudung. Dek kerana bosan menanti kawan-kawannya yang begitu lambat memilih tudung, dia pun saja-saja mencuba tudung yang ada di sana. Ketika dia mencuba satu tudung, dia memandang ke cermin, tiba-tiba ada sesuatu yang menyebabkan dia segera membuka tudung. Seolah-olah ada yang meresap di dalam hati. Sejuk dia rasa, umpama ada seruan untuk dia memakai tudung tersebut.

Sekembalinya dia di rumah, berulang kali peristiwa itu menerjah keruang ingatannya. Selang selepas itu, dia pun mencari tudung di rumahnya. Hampa, dia langsung tidak menjumpai tudung langsung di dalam rumah itu, yang hanya ada hanyalah selendang. Lantas dia menelefon kawannya, untuk membawanya mencari tudung.

Apa reaksi kawannya? Seolah-olah Cat membuat lawak sahaja. Seseorang yang begitu keras hatinya, punya pendirian tiba-tiba terbuka hati untuk bertudung. Namun, demi kawan, mereka sama-sama keluar membeli tudung. Sebelum itu Cat ke rumah kawannya untuk meminjam tudung, dan barulah mereka sama-sama keluar membeli tudung.

Setelah dia membeli tudung, dia pun pulang ke rumah. Kebetulan, suaminya yang ketika itu sepatutnya outstation, telah pun pulang ke rumah. Reaksi suaminya? Lantas, suaminya perlahan-lahan berjalan ke arah Cat, satu ciuman singgah ke dahi Cat, dan dipeluk isterinya itu. Betapa bersyukur suaminya melihat perubahan dari seorang isteri.

Cabaran Cat memang getir, ada yang mentertawakannya, malah ada yang percaya, itu hanyalah sementara sahaja. Tetapi Alhamdulillah, dia masih lagi berhijab sampai sekarang.

“Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham,” kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.” petikan kata-katanya dari Harian Metro.

Selama saya di Kelantan ni pun,saya mendengar juga khabar yang Catriona giat menjalankan usaha dakwahnya,berkongsi pengalaman beliau dan menyeru anak-anak muda di sekitar Kelantan ke arah kebaikan.

Moral yang saya dapat ambil bila membaca kisah Cat ni, saya rasa perubahan artis-artis wanita kita sepatutnya disambut dengan senyuman. Mereka juga mad’u kita. Jangan mudah pesimis dan meletakkan hukuman yang berbaur memperkecilkan mereka kerana yang menilai hati kita semua adalah Allah.
Saya juga berharap industri hiburan tanah air juga mampu menerbitkan sesuatu model hiburan contoh untuk masyarakat. Namun, pendidikan ke arah apa itu Islam sebagai agama yang mudah dan terpelihara itu perlu diteruskan dan tidak berhenti, khususnya untuk para wanita. Peri pentingya menutup aurat itu perlu difahami untuk mengelakkan kemudaratan yang sangat besar yang mana berpunca daripada kaum wanita. 

Di sini saya bawakan beberapa garis panduan tentang kewajipan bertudung dan menutup aurat bagi perempuan yang beriman.Persoalan aurat ini telah diputuskan secara jelas oleh Allah Ta’ala dalam Al-Qur’an menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 Surah al-Nur yang bermaksud:

30.”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka…..” sehingga akhir terjemahan ayat ini.

Kehendak ayat ini adalah jelas, kecuali maksud “perhiasan tubuh yang zahir” itu. Allah tidak menerangkan maksudnya, begitu juga tiada hadis qawli (ucapan Nabi ) yang sahih tentangnya. Tetapi hadis iqrari (perakuan Nabi ) yang sahih amatlah banyak sekali, iaitu perakuan Nabi  terhadap para Sahabiat (sahabat wanita) yang semuanya bertudung setelah turun ayat hijab itu, seperti berikut:

  • Pertamanya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah r.a.:

“Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya.”

  • Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah bint Shaybah katanya:

“Ketika kami bersama ‘Aishah r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aishah menyampuk: “Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) “…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…”, serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw, seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka.”

Lihat tentang tafsiran dua ayat dan dua hadis di atas dalam Muhd Ali al- Sabuni, Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, (percetakan Dar al-Sabuni, Kaherah, t.t.)

  • Dan ketiga, satu hadis yang tidak berapa sahih tentang tafsiran”perhiasan tubuh yang zahir” itu ialah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada ‘Aishah r.a.:

Bahawa Asma’ bint Abi Bakr (kakaknya) datang bertemu Nabi s.a.w. dalam keadaan pakaiannya nipis sehingga nampak kulit badannya, lalu Nabi s.a.w. pun berpaling daripadanya dan bersabda: “Wahai Asma’, seorang perempuan yang telah sampai haidh (baligh) tidak boleh dilihat (hendaklah bertutup) pada badannya melainkan ini dan ini” (sambil baginda menunjukkan ke arah wajah dan kedua pergelangan tangannya).

Dalam mentafsirkan ayat al-Qur’an yang bermaksud “dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka”. Prof. Dr. Hamka, dalam buku Tafsir Al-Azhar jld. 7 menjelaskan bahawa  : ‘Peringatan kepada perempuan, selain menjaga penglihatan mata dan memelihara kemaluan, ditambah lagi iaitu janganlah dipertontonkan perhiasan mereka kecuali yang nyata sahaja. Cincin di jari, muka dan tangan, itulah perhiasan yang nyata. Ertinya yang sederhana  dan tidak menyolok dan menganjurkan. Kemudian diterangkan pula bahawa hendaklah selendang (kudung) yang telah memang tersedia ada di kepala itu ditutupkan ke dada’.

 Dalam mentafsirkan ayat yang sama, Ahmad Mustafa Al-Maraghiy dalam kitabnya Tafsir Al-Maraghiy jld.9 pula menjelaskan bahawa : “Begitu juga setiap wanita hendaklah tidak menampakkan sedikitpun perhiasannya terhadap lelaki yang bukan muhrim, kecuali perhiasan yang biasa nampak dan tidak mungkin dapat disembunyikan, seperti cincin, celak mata dan lipstik. Dalam hal ini mereka tidak akan mendapat kesalahan. Kecualilah jika mereka menampakkan perhiasan yang patut disembunyikan seperti gelang tangan, gelang kaki, kalung mahkota, selempang dan anting-anting kerana semua perhiasan ini terletak pada bahagian tubuh (pergelangan tangan, betis, leher, kepala, dada dan telinga) yang haram dipandang kecuali oleh orang yang dibenarkan untuk melihatnya. Setelah melarang daripada menampakkan perhiasan, Allah Ta’ala selanjutnya memerintahkan agar menyembunyikan sebahagian tempat perhiasan pada anggota tubuh itu di mana mereka hendaklah melabuhkan tudung kepala ke dada bahagian atas hingga di bawah leher, supaya dengan yang demikian mereka dapat menutupi rambut, leher dan dadanya, sehingga tidak sedikitpun dapat dilihat oleh orang lain. Seringkali wanita menutupkan sebahagian tudungnya ke kepala dan sebahagian lagi dilabuhkan ke punggung sehingga nampak pangkal leher serta sebahagian dadanya seperti yang telah menjadi adat jahiliyyah. Dari itu mereka dilarang berbuat demikian”.

Daripada kedua-dua tafsiran ini jelaslah bahawa seorang wanita yang beriman itu wajib memakai tudung dan menutup aurat serta perhiasan-perhiasan yang terletak pada bahagian tubuh yang wajib disembunyikan daripada pandangan orang yang bukan muhrim kecuali pada muka dan kedua-dua pergelangan tangan yang merupakan perhiasan yang nyata bagi mereka.

Alhamdulillah, tulisan saya sudah berada di penghujungnya. Tulisan saya kali ini agak panjang. Mungkin memenatkan bagi yang membaca, tetapi ini adalah usaha dakwah saya untuk berkongsi dengan pengungjung dan pembaca sekalian.


Wanita aset bermakna sebuah ummah. Hadirnya ibarat bunga. Hilangnya wanita maka hilanglah seri dunia.

Nukilan,

Rohayu binti Rusli

Pengerusi Hewi PMIUM

Ghurfah Jundatullah.



1 comments:

Lia berkata...

Yang masih kurang jelas: Bagaimana dengan kaki ya? Perlukah memakai sarung kaki walaupun berselipar? Bukankah kaki juga merupakan sesuatu yang zahir sama juga seperti tapak tangan? Harap dapat beri pencerahan. Terima kasih.

WELCOME TO THIS SITE!