perkongsian petang,
Ghurfah Jundatullah
Menghitung hari menuju ramadhan..
 
Sedang saya menyusun buku-buku yang berhamburan di atas meja, tidak sengaja saya melihat sebuah buku tulisan Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali atau lebih familiar orang-orang mengenal Imam al-Ghazali r.a. Tajuknya, “Ayyuhal Walad”. Buku ini asalnya ditulis dalam bahasa Parsi dengan nama “Al-Risalah Al-Waladiah”, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Arab oleh sebahagian ulamak dan dinamakan “Ayyuhal Walad”.

Saya ambil buku itu.

'Bismillahirrahmanirrahim…'

Perlahan saya belek helaianya dan membaca.
NASIHAT PERTAMA

WAKTU ITU IALAH KEHIDUPAN

Wahai anakku yang tercinta;
Sebahagian daripada nasihat Rasulullah saw. kepada umatnya ialah:
“Adalah dikira sebagai tanda berpalingnya Allah taala daripada seseorang hamba apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakannya pada barang yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadat kepada Allah) maka layaklah bahawa akan panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti) dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka”.

Sebenarnya sekadar ini sudah cukup untuk menjadi nasihat kepada semua orang berilmu.
Bacaan saya terhenti disitu.

“Subhanallah…” saya mula bermonolog sendirian

Bila ku kenang jalan hidupku
betapa ku rasa kehadiranMu

kini beranjak dewasa aku

kau berikan uluran tangan suciMu


Ya Tuhanku terimalah sujudku

Ya Tuhanku terimalah syukurku

Duhai Yang Kuasa telah Kau beri RahmatMu

Kau berikan segala kurnia KasihMu


Sedar ku semua ini milikMu

Jangan!

Jangan lagi jauh dariku

Jangan!

Jangan pernah tinggalkanku

Yang Kuasa Bimbinglah aku selalu

2 hari lepas. Saya melepaskan kerinduan yang teramat pada makhluk Allah yang memberi seribu ketenangan. Pantai. Akhirnya sampai juga saya di pantai. Melakar sesuatu di gigi air. Mendengar deruan angin dan pukulan ombak yang mengingatkan saya pada Allah. Saya duduk merenung laut yang membiru di hadapan. Tanpa saya sedar airmata saya menitis kerana kerinduan yang amat saya pada DIA, Allah Robbul Jalil. Ketenangan pantai itu makin menambahkan rindu di hati saya pada DIA. Saya membiarkan mata saya menatap puas ciptaan Allah itu. 
Dalam kerinduan pada-NYA itu, hati juga merindui Ramadhan. Moga saya diizinkan Allah untuk merasai keberkatan RamadhanNYA. Hanya tinggal berapa hari sahaja lagi Ramadhan bakal menjengah. Saya merindui Ramadhan yang lepas. Sebuah kenangan indah bagi saya sebagai seorang hamba. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini lebih bermakna buat diri saya dalam menjadi hamba yang mengaku mencintai-NYA melebihi segala-galanya.

Diari menuju Ramadhan,
Rohayu Rusli
Pasir Puteh, Kelantan.
Sebagai manusia biasa, kita melalui setiap hukum fitrah dalam kehidupan. Ada yang merasai nikmat kebahagiaan, kesedihan,kesakitan,persahabatan,kekeluargaan dan sebagainya. Itulah normal seorang manusia. Adakalanya ketika nasibnya baik, dia berada tinggi di puncak, dilihat gah oleh seluruh manusia. Adakalanya juga nasib tidak menyebelahinya,terperosok jatuh hingga hilangnya pun tiada manusia yang sedar.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang hakikat kehidupan. Bagaimana kita sebagai seorang manusia memaknakan kehidupan yang telah Allah anugerahkan. Saya ingin mengajak jiwa yang sering dilanda ujian dan dugaan hidup merasakan mereka adalah insan yang bertuah mendapat perhatian Allah. Saya ingin mengajak mereka yang merasakan hidup di dunia tidak bermakna kepada melihat bahawa nikmat kebahagiaan biasa diperoleh di setiap inci muka bumi.
Hati saya resah apabila melihat mereka yang merungut ujian Allah yang sering menimpa mereka tidak henti-henti. Saya juga risau bilamana ada insan yang menyuarakan dan mengakui bahawa mereka dilahirkan untuk taqdir yang buruk sahaja. Ini bukan sifat seorang muslim yang beriman.

9 julai menjadi tarikh keramat bagi Malaysia. Kebangkitan rakyat yang sedar dan peka tentang tingginya nilai sebuah keadilan dan kebenaran. Perhimpunan BERSIH yang bermatlamat untuk menuntut pilihanraya yang telus,adil dan bersih berjaya menghimpunkan ratusan ribu rakyat yang setia dengan kebenaran,yang hadirnya mereka ini terdiri daripada semua kaum tidak kira cina,india dan melayu. Malah BERSIH membuktikan, bahawa ia adalah sebuah gerakan rakyat!
Sebagai anak muda di sebuah negara yang merdeka dan bebas bersuara. Saya menyatakan kekaguman yang amat terhadap usaha dan semangat rakyat dan penggerak BERSIH. Saya mengagumi mereka ini kerana saya juga anak muda dan rakyat yang mencintai nilai keadilan tidak mengira kaum dan bangsa. Saya tidak ingin menjadi mahasiswa yang pekak dan tuli, yang langsung tidak ambil peduli keadaan negara.
Alhamdulillah. Hari ini 8hb julai, sempat berusrah dan berkongsi bersama beberapa orang adik-adik kesayangan saya yang masih menuntut di Nilam Puri. Terima kasih buat adik-adik yang sudi berkunjung ke teratak buruk saya ni. Seketika bersama mereka membuatkan hati saya terkenang pada memori-memori lalu sewaktu masih bergelar penuntut di Nilam Puri. Rindu yang teramat pada tarbiyah dan dakwah. Rindu pada kedamaian dan ketenangan pada sebuah pantai, pantai yang banyak menjadi saksi kenangan bertautnya ikatan persahabatan. Saya hanya ingin berkongsi gambar sebuah pantai yang saya rindu.

~Pantai Melawi dlm kenangan~


Assalamua’alaikum. Hari ini saya tertarik untuk berkongsi tentang seorang insan yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan dan sastera di Malaysia. Siapa lagi kalau bukan A.Samad Said.
Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunannya membaca karya-karya orang lain menjadi titik penentu A. Samad Said ditabalkan sebagai Sasterawan Negara yang versatil dalam dunia kesusasteraan tanah air. Dalam karya A. Samad Said, kita akan melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang yang menuangkan nurani seninya.
A. Samad Said berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas.
 Sedikit latar belakang beliau. Nama sebenarnya, Abdul Samad bin Muhammad Said atau nama penanya A. Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, A. Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura. A. Samad Said memperoleh pendidikan formal di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940-1946).  Kemudian A. Samad meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution hingga memperolehi sijil Senior Cambridge (1956).

WELCOME TO THIS SITE!