“Ketahuilah, takdir itu tidak berjalan menurut rencana kita, bahkan kebanyakkan yang terjadi adalah apa yang tidak kita rencanakan, dan sedikit sekali terjadi apa yang kita rencanakan” –Ibnu Athaillah.



Bismillahirrahmanirrahim. Salam perjuangan buat teman-teman.
Saya cuma ingin berkongsi  rasa bersyukur menjadi hamba. Alhamdulillah dengan kuasaNYA, tangan dan kaki saya boleh bergerak semula setelah di‘rehat’kan buat seketika dari normalnya.
Hampir sebulan juga saya terlantar sakit di rumah, kemalangan dilanggar kereta ketika ingin menghadiri usrah bersama kumpulan nasyid dari Indonesia, Izzatul Islam di Masjid Kg Tungku. Terkejut juga apabila doktor mengesahkan tangan kiri dan kaki kanan saya patah. Muka juga cedera,penuh berdarah. Terkejut . Patut la saya merasa sakit yang teramat sewaktu kemalangan.
Hari ini, tangan saya sudah boleh bergerak, boleh menekan keyboard untuk saya menukilkan perkongsian ringkas bersama kalian. 
Jujur dari hati ,saya teramat rindu ingin melakukan gerak kerja dakwah bersama masyarakat tika ini, apatah lagi waktu kemalangan ini adalah tempoh saya sedang melalui proses praktikal di Jabatan Agama Wilayah. Saya juga benar-benar rindu pada gerak kerja bersama sahabat-sahabat seperjuangan keluarga besar PMIUM, benar-benar rindu. Wajah dan kata-kata mereka penguat semangat saya tika sakit.
Seorang murobbi menasihati saya, “Allah bagi enti sakit, supaya enti boleh rehatkan fizikal..tapi enti tak boleh rehat minda dan hati. Mesti kena terus-terusan bekerja. Banyakkan membaca,membaca dan terus membaca”. Benar. Saya mengakuinya, sebab itu saya mengerah kudrat minda dan hati saya untuk terus-terusan membaca.
Saya teringat, pagi sebelum kemalangan. Usai solat subuh, sempat saya membelek pesanan seorang ulama’ turki Badi’uzzaman Said Nursi yang berbunyi :-
“sumber kekuatanku adalah kelemahanku, kerana pada kelemahan inilah sandaran pada Allah semakin kuat, sehingga sumber tenaga dan keyakinan itu bertambah”
Saat itu terdetik dihati saya. Bagaimana diertikan kelemahan menjadi kekuatan. Apakah dengan ujian?. Hati saya terus berbisik “Ya Allah, apa agaknya ujianMU yang menanti di hadapan yang akan membuatkan aku melihat kelemahan menjadi kekuatan”
Allah itu Maha melihat dan Maha mendengar. DIA dengar apa kata hati saya. Inilah ujiannya. Saya merasai apa itu nikmat apabila tidak dapat berjalan dengan sempurna. Hanya dengan satu kaki dan satu tongkat. Malah tangan juga hanya satu yang mampu digerakkan. Sekian lama juga saya solat orang sakit sehinggakan airmata saya menitis, teramat rindu dahi ini ingin sujud menyembah Allah rapat di dada bumi.
Dengan ujianNYA ini, saya merasai nikmat kasih sayang yang tidak terhitung banyaknya. Terima kasih ya Allah, tidak lupa akan hamba. Saya merasai Allah tidak akan pernah meninggalkan saya walau seketika, sewaktu itu benar-benar saya merasai kelemahan menjadi kekuatan. Kekuatan Allah sebagai penentu taqdir hidup saya.
 Saya makin mengenal erti kasih sayang keluarga. Makin saya terasa bernilainya dan sucinya kasih seorang ibu,datuk dan nenek. Saya juga amat bersyukur kerana jalan perjuangan ini menemukan saya dengan sahabat-sahabat yang persahabatannya kerana Allah. Jujur saya katakan, tidak rugi saya menyertai gerakan mahasiswa Islam PMIUM, kerana adik beradik ramai yang saya punyai ini tidak pernah berhenti memberi spirit kepada saya agar terus tabah. NikmatNYA yang wajib saya syukuri.
Teman-teman, di sebalik kelemahan kita diuji dan terus diuji,rasa terhimmpit hingga terkadang seperti putusnya asa kita pada rahmatNya. Di sebalik kelemahan itu,wajar ditenangkan diri dalam keakraban pada Allah hinggakan terbangun kekuatan kebergantungan kita pada Allah.
Manusia memang lemah dan Allah lah yang membuatkan kelemahan itu menjadi kuat.
Akhir kata, sama-sama kita renungkan firman Allah
Firman Allah swt;
وَإِذَا أَنْعَمْنَا عَلَى الْأِنْسَانِ أَعْرَضَ وَنَأَى بِجَانِبِهِ وَإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ فَذُو دُعَاءٍ عَرِيضٍ
Maksudnya; Dan apabila kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri; tetapi apabila ia ditimpa malapetaka, Maka ia banyak berdoa. (Fussilat:51)

Perkongsian,
Rohayu Rusli
Pasir Puteh, Darul Naim.


0 comments:

WELCOME TO THIS SITE!