Menghitung hari
tahun berganti tahun

bulan bersilih bulan
hari bertukar hari
jam..minit..saat mengikut putaran alam..

seakan rasa baru semalam diri ini bertambah usia

Ya ALLAH
cepatnya masa berlalu

persisku telah meniti titian kehidupan berliku
walau ombak datang membadai

walau apa jua rintangan yang menghunjam
ku kentalkan pendirianku
kukejapkan iman di qalbu

ku teruskan langkah perjuanganku..

Ya Muqtadir
kemanisan yang dikecapi tersirat kisah keperitan
kelapangan dalam kesibukan yang bertalu

kesenangan dijahit nan disulam
kesusahan yang menimpa

semua itu sudah tertulis Qada’ dan Qadar
tiada kuasa yang mampu menghalangNYA..

Ya Rahman,Ya Rahim
jendela baru bakal dikunjungi

meninggalkan tirai yang usang berlalu pergi
moga diriku rancak menyiram taman hati Sahabiah

memurnikan sanubari insan
sambil menabur benih semaian di taman hati ini

ku sisip tarbiyah dan tazkirah seiringan
ku kutip mutiara dalam menongkah bahtera kembaraku

agar mekar mewangi
bersama kalungan munajatku

Ya Karim..Ya Zal JalaliWalIkram…
ku hanya menumpang kasihMU

atas nikmat yang tak terperi lagi terhitung
ku akui kekerdilan diri ini
di hadapan Qudrat dan IradatNYA..

PadaMU
ku rintih
teguhkan amanah Ad-Deen di bahuku
berikan nafas pada hatiku yang layu
moga ku senantiasa menikmati Taqarubbillah

tawadhuk dan istiqamah di jalanMU

Ya Mujib..Ya Fattah..
selamat berjuang untuk diriku
hingga ke titik noktah antara cita-cita dan impian
yang belum tertunai

wasilah dakwah yang di dambakan
perjuangan yang belum selesai
ALLAHU AKBAR !!

Pasti dariNYA kita datang….
Dan padaNYA kita kembali..

~ jendela baru ~

:: jundatullah ::




Pemuda dan pemudi sekarang hanya mampu berteori sahaja dan melaung-laungkan slogan jihad tetapi jiwa mereka kosong. Mereka mengagungkan kegagahan yang dimiliki generasi-generasi terdahulu..kita hanya dapat berbangga dengan teori-teori yang dicipta oleh mereka tanpa kita sendiri yang merealitikan teori tersebut.. Tugas kita bukan setakat berlatih ceramah untuk dikatakan hebat dan petah berkata-kata. Tugas kita juga bukan setakat mengaku sebagai pejuang tetapi tugas kita lebih besar…memahami ISLAM secara SYUMUL, MENDALAMI ILMU –ILMU ISLAM YANG LUAS, MEMBONGKAR LAUTAN HIKMAH DAN MENJADI PEMIKIR ISLAM !!! ISLAM PERLUKAN PEMUDA DAN PEMUDI YANG MENANGIS DI MALAM HARI MENGHITUNG DIRI & SIANGNYA TANGKAS BAGAI KUDA PERANG !! ISLAM PERLUKAN PEMUDA-PEMUDI YANG BERANI KERANA BENAR!!! ISLAM PERLUKAN PEMUDA-PEMUDI YANG MELETAKKAN ALLAH ADALAH SEGALA-GALANYA.. ISLAM PERLUKAN PEMUDA-PEMUDI YANG BENGIS PADA KEMUNGKARAN DAN LEMBUT BILA MELIHAT KEBAIKAN !!!!

Aku kah di kalangan pemuda-pemudi kebanggaan ISLAM itu????

Ya ALLAH..dhoifnya diri ini…

Monolog jundatullah.





“ Kejayaan tidak akan dapat di capai tanpa adanya matlamat yang jelas”….bagaimana ingin mendakap sebuah kejayaan jika matlamatnya tiada untuk digenggam…

Tentunya lebih menarik jika ana bawakan satu cerita untuk kita sama-sama hayati. Seorang pegawai syarikat perlombongan di Afrika Selatan, David Brown sangat bertuah kerana telah dipilih oleh ketuanya untuk berkursus di England. Tugasnya adalah mempelajari teknologi di England untuk dilaksanakan di Afrika Selatan. David Brown sangat gembira kerana inilah kali pertamanya beliau pergi ke England. David Brown juga telah berjanji kepada bosnya untuk mempelajari sebanyak mungkin teknologi di England untuk dipraktikkan bila kembali nanti.Setibanya David Brown di England,, beliau telah terpesona dengan kemajuan dan kemodenan England. Tugasnya telah dilupakan. Beliau mulai meneguk kemajuan dan tenggelam dalam kemewahan yang menipu. Wang syarikat dibelanjakan secara boros. Akhirnya beliau kehabisan wang. Begitulah manusia, kesusahanlah yang akan mengingatkan akan kebenaran. Begitu juga dengan David Brown, beliau telah menyedari bahawa beliau ada tugasan untuk dilaksanakan. Tapi, malang betul bagi David Brown kerana beliau telah lupa apakah tugasnya kerana terlalu asyik berfoya-foya. Beliau mengimpikan kejayaan tetapi sudah lupa tugas dan tidak jelas apa matlamatnya!!

Apa yang ingin ana utarakan adalah lebih penting daripada cerita David Brown. Kejayaan David Brown hanyalah mengenai kemajuan syarikatnya. Tetapi, apa yang ingin ana bicarakan adalah mengenai tujuan hidup manusia. Matlamat hidup manusia. Manusia dalam kehidupan dunia ini terbahagi kepada tiga golongan..dalam golongan manakah kita berada ???

GOLONGAN YANG HIDUP UNTUK DUNIA

Golongan yang hidup untuk dunia adalah golongan yang berfahaman metearilistik, baik dari segi akidah dan realiti kehidupan. Allah menggelarkan golongan ini di dalam AL-QURAN sebagai “DAHRIUN”. ALLAH telah berfirman mengenai golongan ini , mafhumnya:- “Dan mereka mengatakan..“hidup hanyalah kehidupan kita di dunia sahaja dan kita sekali-kali tidak akan dibangkitkan” (AL-AN’AM:29)

Golongan ini mengingkari wujudnya hidup setelah kehidupan dunia ini ; dimana segala perbuatan manusia akan dihisab, maka pada saat itu kehidupan di dunia ini menjadi matlamat utama. Sesiapa yang hidup untuk dunia, akan mengejarnya sehingga karam dalam nafsu dan tipudaya dunia.

ALLAH s.w.t telah berfirman, mafhumnya : “ Dan mereka : “kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa”, dan mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang itu,mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja” (AL-JAATSIYAH :24)

Moga- moga kita bukan dari golongan ini…

GOLONGAN YANG SESAT ANTARA DUNIA DAN AKHIRAT

Golongan ini beriman kepada ALLAH dan hari akhirat tetapi, aqidah dan keyakinan mereka terhadap ALLAH dan hari akhirat hanyalah merupakan gambaran kulit sahaja. Aqidah dan keyakinan mereka terpisah terus dari reality hidup yang praktikal.

Golongan ini adalah terdiri daripada kebanyakan manusia yang Aqidah sentiasa bergelora dan sesat dalam menjalani hidup dunia sedang mereka menyangka yang mereka masih melakukan sesuatu yang baik. Golongan ini pada hakikatnya termasuk dalam golongan kebendaan walaupun pada zahirnya melakukan ibadat-ibadat rohani. Apa yang dikatakan oleh seorang penyair ini adalah sungguh tepat untuk menggambarkan golongan kebendaan ini.. “ kita menampal dunia kita dengan mengoyakkan agama kita, tapi tidak satu pun yang kekal baik dunia atau agama kita”

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dalam risalah yang bertajuk “ Ke mana kita menyeru manusia” telah menulis, Al-Quran menentukan matlamat hidup dan tujuan manusia hidup. Al-Quran telah menerangkan satu kaum yang tujuan hidup mereka hanyalah untuk makan dan bermewah-mewah. ALLAH taala telah berfirman, maksudnya: “Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti binatang-binatang makan dan neraka adalah tempat tinggal mereka” (MUHAMMAD: 12)

Kita sama-sama usaha dan doakan kita bukan juga tergolong dalam golongan ini.

Al-Quran menerangkan juga satu golongan lain yang tujuan hidup mereka hanyalah untuk perhiasan dan kemewahan dunia yang akan hancur dan lebur. “Di jadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak,kuda pilihan, binatang ternakan dan sawah-ladang. Itulah kesenangan hidup dunia, dan di sisi ALLAH tempat kembali yang baik.” (ALI-IMRAN :14)

Ada juga golongan lain yang tujuan hidup mereka hanyalah untuk menimbulkan fitnah dan menyuburkan kejahatan serta kebinasaan. ALLAH mensifatkan mereka ini melalui firmanNYA yang bermaksud : “Di antara manusia itu ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu dan dipersaksikannya kepada ALLAH( atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras.” (AL-BAQARAH :204-205)

Marilah kita bersama-sama usahakan dan doakan agar kita bukan dari golongan ini kerana ALLAH telah membersihkan dan menjauhkan kita orang-orang mukmin darinya, mewajibkan kita orang-orang mukmin, tugas yang lebih tinggi dan mulia, meletakkan di atas bahu kita tanggungjawab yang lebih-lebih tinggi dan mulia, meletakkan atas bahu kita tanggungjawab yang lebih agung, tanggungjawab untuk menunjukkan jalan yang benar kepada manusia, menunjukkan arah kebaikan kepada manusia semuanya dengan sinar ISLAM.

GOLONGAN YANG MENGANGGAP DUNIA SEBAGAI LADANG AKHIRAT

Mereka inilah orang-orang mukmin yang sebenarnya. Mereka mengetahui hakikat hidup yang sebenarnya. Mereka juga mengetahui harga dunia berbanding akhirat. Firman ALLAH, mafhumnya: “Dan tiadalah kehidupan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu memahaminya.” (AL-AN’AM :32)

Kehidupan dunia tidak dapat melalaikan dan menganggu mereka daripada melaksanakan tujuan dan matlamat mereka dicipta ALLAH di dunia ini. Sebagaimana yang telah diterangkan dalam Firman ALLAH, mafhumnya: “Dan AKU tidak menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaKU.” (ADZ-DZARIYAT :56)

Orang yan benar-benar menganut agama ISLAM menganggap dunia ini sebagai satu medan perlumbaan untuk melakukan taat kepada ALLAH dan mencapai keredhaanNYA. Keseluruhan hidup mereka, baik ilmu,perniagaan,harta,rumahtangga, masa dan fikiran mereka kesemuanya digunakan unutk mencapai matlamat tersebut. Masa dan fikiran mereka kesemuanya digunakan untuk mencapai matlamat tersebut. Sebaliknya golongan kebendaan menggunakan perkara-perkara tersebut untuk menunaikan tuntutan hawa nafsu dan syahwat.

Imam Hassan Al-Banna juga menaqalkan dalam risalahnya “Ke mana kita menyeru manusia”, beliau menyentuh permasalahan ini katanya:-

“ Saudara yang dimuliakan, demi tuhan, adakah ummat ISLAM telah memahami pengertian ini dari kitab ALLAH, Tuhan mereka?. Dengan memahami pengertian ini jiwa mereka menjadi tinggi, semangat mereka menjulang, mereka bebas dari konkongan hawa nafsu dan syahwat. Mereka akan menjauhi perkara yang sia-sia, tujuan-tujuan yang rendah dan hina. Mereka akan membulatkan haluan mereka kepada ALLAH yang menciptakan langit dan bumi. Mereka akan bersifat hanif (suci), menegakkan kalimah ALLAH, berjihad pada jalan ALLAH, menyampaikan agama ALLAH dan mempertahankannya atau sebaliknya akan menjadi tawanan kepada syahwat,menjadi hamba abdi kepada hawa nafsu dan kerakusan. Seluruh impian mereka hanyalah makanan yangenak-enak dan lazat, kenderaan yang mewah, perhiasan yang indah, perempuan jelita yang menggoda, lahiriah yang palsu dan gelaran dan pangkat yang sia-sia”

Ana seru diri sendiri dan sahabat-sahabat….sekarang matlamat kita sudah jelas. Segalanya terpampang di depan mata. Pilihlah untuk kita menjadi golongan yang bagaimana. Matlamat sudah kita ketahui. Kejayaan sedang melambai-lambai menanti kita mendakapnya. Harus kita mulai sekarang usaha untuk mendakap kejayaan kerana tiada esok untuk menanti perubahan kerana bukan kata esok, tapi satu saat akan datang pun tak pasti kita ada lagi di dunia ini. Sebelum terlambat, marilah kita sama-sama berganding bahu..bersatu untuk bersama dan saling mengecapi kejayaan yang gemilang sebagai hamba yang berjaya dunia dan akhirat. Jangan biarkan diri kita masih tidak tahu dan mengerti apa TUJUAN HIDUP. ISLAM yang terbaik dan jangan kita menangguh dalam mengejar Cinta & Redho ILAHI..jangan menunda untuk melaksanakan yang terbaik selaku HambaNYA..

~Pengemis Cinta Ilahi..Perindu Syahid Abadi~

:: Jundatullah ::


WELCOME TO THIS SITE!