Sabtu lepas, saya bersama empat orang rakan aktivis mahasiswi ke Johor menziarahi keluarga arwah Nadhirah @dirang ,kanak-kanak yang dibunuh dan dibakar dalam keadaan sangat tragis. Alhamdulillah, tepat jam 9.45 malam kami tiba di flat sri delima, kediaman keluarga nadhirah dan juga tempat tragedi ngeri itu berlaku. 
Dek kerana kprihatinan kami terhadap kes-kes keganasan wanita dan kanak-kanak yang makin bertambah dari hari ke hari, kami di peringkat aktivis mahasiswi mengadakan kempen tolak keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Keganasan terhadap mereka ini bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah menjadi suatu jenayah yang amat besar.
Kalau dahulu kita dengar Nurin Jazlin, Sharlini dan ramai lagi kanak-kanak yang diperlakukan dengan kejam sedangkan mereka itu masih kecil dan tidak berdosa. Manusia sekarang makin hilang sifat manusiawi hingga sanggup bertindak sedemikian rupa. Saya yang menjadi rakyat Malaysia dan juga seorang mahasiswi amat merasa tidak selamat dalam keadaan sekarang ini dengan pelbagai kes-kes jenayah yang berlaku. Pesan saya buat wanita-wanita, kaum ibu, anak-anak moga utamakan keselamatan diri kalian. Nyawa yang pergi tidak mampu diganti.
Seketika menemui ibu arwah dirang, beliau masih lagi sedih dan terbayang-bayang kenangan bersama arwah. Hati ibu yang kehilangan seorang anak yang masih kecil. Saya dan rakan-rakan yang hadir Cuma mampu memberi kata semangat dan doa moga roh arwah dirahmati Allah. Sesungguhnya untuk melalui ujian kehilangan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Terima kasih pada ibu dirang kerana menerima kehadiran kami walaupun lewat tiba.
Hajat saya ingin menulis panjang, namun perasaan sebu dan sedih menyelubungi diri. Sangat menyeksakan perasaan bagi saya sebagai seorang wanita apabila kerapkali sangat mendapat berita yang tragis berkenaan kanak-kanak dan wanita yang didera. Moga Allah pelihara anak-anak yang masih kecil, yamg masih belum mengerti erti kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran ini.



0 comments:

WELCOME TO THIS SITE!