Assalamua’alaikum. Hari ini saya tertarik untuk berkongsi tentang seorang insan yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan dan sastera di Malaysia. Siapa lagi kalau bukan A.Samad Said.
Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunannya membaca karya-karya orang lain menjadi titik penentu A. Samad Said ditabalkan sebagai Sasterawan Negara yang versatil dalam dunia kesusasteraan tanah air. Dalam karya A. Samad Said, kita akan melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang yang menuangkan nurani seninya.
A. Samad Said berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas.
Sedikit latar belakang beliau. Nama sebenarnya, Abdul Samad bin Muhammad Said atau nama penanya A. Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, A. Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura. A. Samad Said memperoleh pendidikan formal di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940-1946). Kemudian A. Samad meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution hingga memperolehi sijil Senior Cambridge (1956).
Pengalaman kerjaya A. Samad Said bermula sebagai kerani, pengarang di Utusan Melayu, Berita Harian, Kumpulan The Straits Times, dan ketua pengarang akhbar Warta Teberau. Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini A. Samad Said menjadi penulis sepenuh masa yang aktif berkarya.
Beliau juga mendapat banyak anugerah dan gelaran,antaranya seperti Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Anugerah Sasterawan Negara (1985), dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999).
Terbaru, sasterawan negara dan nusantara yang terkenal ini juga dengan beraninya menyatakan sokongan dan keterlibatannya bersama rakyat untuk himpunan bersih. Malah, sebuah sajak khas untuk himpunan bersih dihadiahkan buat rakyat Malaysia. Kita beruntung kerana mempunyai tokoh intelektual yang tidak bisu dan tidak terkunci mulutnya seperti beliau.
A Samad yang terkenal dengan penulisan yang kritis mendedahkan sebelum ini beliau sering menutup mulut dalam pelbagai isu yang dilakukan kerajaan. Apa yang mengagumkan saya apabila kata-kata ini keluar daripada mulutnya.
"Tetapi selepas saya ke Mekah dan bertaubat, kini saya akan bercakap benar dalam segala hal, biar pun ia amat pahit di pihak kerajaan
"Tetapi selepas saya ke Mekah dan bertaubat, kini saya akan bercakap benar dalam segala hal, biar pun ia amat pahit di pihak kerajaan
“Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan,” kata beliau.
“kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi?”
“Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?
“Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni”
Disini juga saya kongsikan hasil tangan beliau untuk Bersih 2.0
~Unggun Bersih~
Semakin lara kita didera bara
Kita laungkan juga pesan merdeka
Demokrasi sebenderang mentari
Sehasrat hajat semurni harga diri
Lama resah kita - demokrasi luka
Lama duka kita - demokrasi lara
Demokrasi yang angkuh kita cemuhi
suara bebas yang utuh kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru
(di Boston dijirus teh ke laut biru)
Tak diperlu gempita sorak yang gebu
diperlu hanya unggun api yang syahdu
Kini menyalalah unggun sakti itu
kini merebaklah nyala unggun itu
A. Samad Said
24&25 Jun 2011
Keberanian A.Samad Said membuka mata rakyat yang menyedari tentang perlunya pemerintahan negara adil dan telus. Moga ramai lagi para ilmuan dan intelektual menjadi lebih berani dalam membela nasib rakyat.
Perkongsian,
Rohayu Rusli – Pasir Puteh.
0 comments:
Catat Ulasan