Sebagai manusia biasa, kita melalui setiap hukum fitrah dalam kehidupan. Ada yang merasai nikmat kebahagiaan, kesedihan,kesakitan,persahabatan,kekeluargaan dan sebagainya. Itulah normal seorang manusia. Adakalanya ketika nasibnya baik, dia berada tinggi di puncak, dilihat gah oleh seluruh manusia. Adakalanya juga nasib tidak menyebelahinya,terperosok jatuh hingga hilangnya pun tiada manusia yang sedar.

Hari ini saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang hakikat kehidupan. Bagaimana kita sebagai seorang manusia memaknakan kehidupan yang telah Allah anugerahkan. Saya ingin mengajak jiwa yang sering dilanda ujian dan dugaan hidup merasakan mereka adalah insan yang bertuah mendapat perhatian Allah. Saya ingin mengajak mereka yang merasakan hidup di dunia tidak bermakna kepada melihat bahawa nikmat kebahagiaan biasa diperoleh di setiap inci muka bumi.
Hati saya resah apabila melihat mereka yang merungut ujian Allah yang sering menimpa mereka tidak henti-henti. Saya juga risau bilamana ada insan yang menyuarakan dan mengakui bahawa mereka dilahirkan untuk taqdir yang buruk sahaja. Ini bukan sifat seorang muslim yang beriman.
Sahabat , setiap anak adam yang dilahirkan dimuka bumi ini ada bahagiannya masing-masing. Ada yang terpaksa melalui kesusahan dahulu. Ada juga yang menikmati kebahagiaan dahulu. Apa yang lebih penting untuk kita amati adalah dalam susah mahupun senang, dimana kita merasa Allah itu hampir dengan kita. Allah memberi apa yang kita perlukan sebagai kekuatan untuk terus menjalani kehidupan. Jarang sekali Allah memberi mengikut kemahuan kita,kerana kita mugkin menjadi manusia yang lalai dengan nikmat kesenangan.

Cuba teman-teman lakukan ini. Pejam mata, letakkan tangan dihati. Buang segala rasa kebergantungan kalian dengan dunia dan segala isinya. Buang jauh-jauh. Kemudian sebut nama Allah dengan kuat dalam hati kalian yang paling dalam. Istighfar. Jika dahulu kita pernah menyuarakan bahawa kehidupan ini suatu bebanan. Maka saat ini kembalilah mengakui “Aku ada Allah”, juga menyakini di dalam hati "masih ada sinar kebahagiaan untukku".
Syukur dan ikhlas. Ini yang paling sukar. Selalu lah berdoa moga kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur. Bersyukur dengan sedikit. Ikhlas dengan setiap amal dan perbuatan. Ikhlas menerima ketentuan yang segalanya datang dari Allah. Jangan sesekali mendidik hati dengan ketidakpuasan terhadap kehendak hawa nafsu. Kerana kita akan menjadi manusia yang sakit. Yang sentiasa rasa tidak cukup dan tidak puashati.
Bagi mereka yang sentiasa dilihat hebat dan gah. Jangan merasakan itu selama-lamanya menjadi milik kalian. Jangan pula memperlekehkan mereka yang kita lihat lemah dan tidak punya apa. Syaitan amat merasa tertarik kepada mereka yang berjawatan tinggi, mewah hidupnya, kerana amat sukar mencari nilai tawadhuk dalam diri insan-insan yang dilihat hebat di mata masyarakat.
Apa yang keluar dari bibir, tidak sampai jika ianya bukan dari hati. Begitu juga, apabila kita menyebut “Allah itu ada” tidak akan kita rasai keberadaannya selagi mana hati kita tidak menyakini.
Teman-teman, kecapilah kebahagiaan hati walaupun zahirnya kalian dhoif dan susah. Binalah sebuah ketenangan hati dan jalanilah kehidupan di dunia ini dengan penuh makna. Dengan menjadikan dunia ini taman untuk bercucuk tanam, dengan harapan hasil tuaiannya nikmat kebahagiaan yang berkekalan.
Memaknakan kehidupan
Rohayu Rusli
Pasir puteh
11.julai.2011

0 comments:

WELCOME TO THIS SITE!