(Kak Kartika tengah membaca surah Yaasin sewaktu menunggu kepulangan anaknya)

"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati,padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya,   jika kamu org2 yg beriman."
- Surah Al-Imran ayat 139
Dengan nama Allah yang kaya dengan sifat rahman dan rahimNYA, saya ingin menukilkan sesuatu khas buat kak Kartika. Pagi tadi sewaktu melihat berita di dada akhbar harian metro tentang kematian anak kak Kartika, hati saya dihimpit rasa simpati atas apa yang berlaku.
Allah maha hebat. Di tangannya kunci segala hikmah kehidupan. Saya mula mengenali sosok tubuh bekas model sambilan Kartika Sari Dewi sewaktu tahun 2009. Ketika itu saya masih baru mengenali dunia Kuala Lumpur dan juga baru sahaja bergelar mahasiswa tahun pertama di kampus Universiti Malaya. Tika itu juga, hangat kes Kartika mengenai hukuman sebat ke atasnya yang mendapat liputan seluruh Malaysia.
Dengan inisiatif kepimpinan PMIUM waktu itu, Saudari Fasihah iaitu mantan Pengerusi Hewi PMIUM sesi 09/10, mengambil tindakan bertemu empat mata dengan Kartika. Pertemuan tersebut bertujuan untuk memberikan sokongan moral itu kepada beliau yang diasak dengan media dan masyarakat berkaitan isu sebatnya.
(Kak Fasihah bertemu Kak Kartika)
Saya melihat titik perubahan berlaku pada diri Kartika.Apabila beliau sendiri sedar kesalahan beliau meminum arak dan mahu menjalani hukuman sebagaimana yang ditetapkan Islam. Tindakan beliau seharusnya dipuji. Bahkan beliau sendiri mahu hukuman sebat itu dijalankan dihadapan khalayak dan menurut garis-garis yang ditetapkan Syariat .
Keberaniannya  berdiri atas syariat itu yang mengagumkan saya. Apatah lagi melihat semangat ketabahan yang ada di dalam jiwanya dengan tohmahan dan cacian masyarakat lewat tahun 2009 yang lalu. Dua hari lepas, anak sulungnya yang berumur 9 tahun dilaporkan hilang dari rumah. Pagi tadi pula, mayat anaknya ditemui terapung di Sungai Siput, Perak.
Allah menguji hidupnya saat beliau kembali menemui jalan kebenaran sebagai petanda Allah ingin meraihnya makin dekat dengan cinta Allah. Hanya Allah yang mampu membayar harga ketabahan yang terpasak di dalam jiwanya. Benarlah, Allah menciptakan wanita ini sebagai makhluk yang penuh dengan keistimewaan, ada kelembutan namun terselit dengan kekuatan semangat dan emosi yang membantunya menjadi insan yang cekal dalam kehidupan.
Saya tidak menafikan, ‘kehilangan’ itu masih baru dijiwanya. Apatah lagi anaknya itu baru 9 tahun hidup bersamanya. Ibu mana yang tidak merasa sakit kehilangan anak yang dikandungnya. 
Bagi saya, sungguh! saya amat menyayangi hamba Allah yang dihadiahkan Allah dengan ujian yang mencabar dalam kehidupannya seperti kak Kartika. Selaku hamba, menyedari hakikat ujian sebagai tarbiyah kehidupan itu petanda orang muslim yang beriman. Tiada apa yang berlaku di dalam kehidupan ini Allah cipatakan dengan sia-sia, malah setiap apa yang berlaku mengandungi hikmah yang tersembunyi.
Atas naluri saya sebagai seorang wanita, saya mendoakan kesejahteraan arwah anaknya dan juga buat kak Kartika, moga Allah menanamkan ketenangan dan kesabaran yang tinggi di dalam jiwanya sebagai seorang wanita. Semoga dengan ujian yang dihadapinya, bertambah cinta hamba kepada pencipta di dalam dirinya.
Akhirnya, saya bawakan firman Allah SWT di dalam Al-Quran buat renungan bersama.
“Dan sesungguhnya akan kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa (pengikut) dan buah-buahan (biji-bijian).
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Yaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadanyalah kami akan kembali’.
Meraka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Al Baqarah : 155-157 )

Nukilan,
Rohayu binti Rusli,
Naib Presiden PMIUM 11/12

0 comments:

WELCOME TO THIS SITE!