Bismillahirrahmanirrahim... Segala puji bagiMU ya Allah. Alhamdulillah, Allah menggerakkan tangan ini untuk berkongsi sesuatu dengan kalian. Moga ada manfaatnya disisi Allah.
Malam tadi, susah benar mata ini ingin lelap. Memikirkan diri yang penuh dengan debu dosa. Merasai diri yang tidak banyak menyumbang untuk perjuangan, merasa kedhoifan diri yang teramat. Allah..Layakkah hamba yang hina ini mendapat pandanganMU, meraih cintaMU. Tanpa saya sedari, ada airmata kekesalan yang mengalir. Airmata hamba yang merasa sangat berdosa. Aku hamba yang seringkali lupa ya Allah, seringkali sudah merasa cukup cinta padaMU. Namun, hakikatnya aku masih jauh dari cintaMU.
Usai subuh berjemaah bersama teman-teman, aku kembali merenung ke dalam diri. Allah, entah mengapa sayu benar hati ini. Aku tatap Al-Quran, hampir menitis lagi airmata ini ketika sampai pada firmanNYA :-
"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah hati dan suara yang lembut. Sungguh, Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas"
"Dan janganlah kamu berbuat kerusakan di bumi setelah (diciptakan) dengan baik. Berdoalah kepada-NYA dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan"
Benar, Al-Quran itu pengubat jiwa. Al-Quran ini teman airmata mujahadah seorang aku.
Benar, rahmat Allah itu sangat dekat kepada orang yang berbuat kebaikan.
Allah, moga masih ada waktu untuk aku menghadiahkan sesuatu dalam kehidupan ini sebagai hambaMU.
Allah, terima kasih kerana tidak pernah sesekali Engkau biarkan diri ini jauh dalam melakukan kesilapan. 
Allah, cinta dan pandangaanMU amat bermakna buat diri ini.
Allah, kekalkanku dalam keiklsan beribadat kepadaMU..
********************************
Buat teman-teman yang singgah di taman pena ini, pesanan Al-Imam Ibn Al-Qayyim al-Jauzi ini aku kongsikan untuk kalian.
Al-Imam Ibn al-Qayyim berkata:
10 perkara yang sia-sia, tidak boleh diambil apa-apa manfaat daripadanya,
1. Ilmu yang tidak diamalkan
2. Amalan yang tiada keikhlasan padanya
3. Harta yang tidak diinfaq; orang yang mengumpulnya tidak dapat menikmatinya di dunia, di akhirat pula harta itu tidak dapat menyelamatkan pengumpulnya.
4. Hati yang kosong dari perasaan cinta dan rindu kepada Allah
5. Tubuh badan yang tidak digunakan untuk mentaati Allah dan berkhidmat kepada agama-Nya
6. Cinta yang tidak diasaskan pada mencari keredhaan Allah dan mematuhi suruhan-Nya
7. Masa yang tidak digunakan untuk memperbaiki kesilapan lalu atau merebut peluang berbuat kebaikan atau mendekatkan diri kepada Allah
8. Fikiran yang menerawang menjelajahi perkara-perkara yang tidak berfaedah
9. Berkhidmat kepada seseorang atau sesuatu yang tidak mendekatkan kamu kepada Allah dengan perkhidmatan itu serta tidak mendatangkan kebaikan kepada duniamu
10. Kamu takut atau berharap kepada seseorang yang ubun-ubunnya berada di dalam genggaman Allah. Orang yang kamu takut atau berharap itu sendiri terpenjara di dalam kekuasaan-Nya, tidak memiliki kuasa untuk memberi mudarat atau manfaat kepada dirinya, tidak mempunyai kuasa untuk mematikan, menghidupkan dan membangkitkan kembali selepas mati.

4_Januari_2011, Jundatullah

1 comments:

Ismi Azraf berkata...

Fikrah bermujahadah itu terbina atas muhasabah.

Setiap manusia biasa akan diuji dan melakukan dosa namun pintu taubat sentiasa terbuka.Dan beruntunglah manusia yang bertaubat.

WELCOME TO THIS SITE!