Bismillah.. Salam perjuangan pengunjung taman pena Jundatullah. Alhamdulillah, dengan izin Allah,dapat juga saya mengangkat tangan ini untuk menukilkan sesuatu sebagai aset dakwah untuk dikongsi bersama teman-teman yang melawat taman pena ini.
Hari-hari dalam kamus hidup kita selaku hamba yang berjuang mempunyai seribu erti dan makna, dan bagaimana kita memaknakan kehidupan dimuka bumi ini adalah dengan motivasi utama kita iaitu Allah s.w..t. Memotivasikan diri dengan wawasan akhirat dan jannah!! Menjadi matahari yang menyinar buat diri~
**********************
“Antum teruskan la..ana minta cuti buat seketika, jiwa ana perlu dibina..ana ingin beruzlah.” Luah seorang sahabat.

“Susah la macam ni,semua main tolak-tolak, siapa nak handle ni.? Rungut seorang teman.

“Ukhti, ana banyak masalah, orang ber masalah macam ana tidak layak berada dalam gerakan” Rakan meminta simpati.

“Nur,ana kesempitan sekarang, duit 1 sen pun ana takde dalam poket ni” Keluh seorang teman.

“Saya tidak tahu kemana kita semua letakkan keutamaan kita dalam perjuangan ini?” Dengus seorang rakan.

“Kita tak boleh selamanya begini, urusan ummat perlu kita utamakan! Mereka yang lambat sangat ni, kita tinggal je la”  laju meluncur kata2 seorang teman.

**********************
Seringkali kita berdepan dengan situasi begini, samaada diri kita sendiri yang menuturkan, ataupun teman-teman seperjuangan yang meluahkan. Ianya mungkin perkara biasa, masalah dalaman kekadang yang menyinggah pada jiwa-jiwa aktivis gerakan. Namun, bagi saya agak merisaukan bila ia dibiar tanpa disuntik motivasi, kerana aktivis gerakan juga manusia biasa. Vitamin berbentuk spirit perlu disuntik ke dalam jiwa aktivis gerakan ini supaya jatuhnya tiada sempat, agar tersadungnya tidak lama kerana menyedari hakikat masa dan umur tidak panjang untuk terus berbakti pada Islam.

~Menjadi “matahari” ???~ Jom!!!

1.      1. Faham sebenar-benar faham

Saidina ‘Umar al Khattab pernah memberitahu bahawa seseorang yang mahu menjadi pemimpin mesti terlebih dahulu mendalami Islam “faqihkan dirimu (pelajari dan fahami Islam) sebelum engkau memimpin”. Sangat beerti ucapan yang pendek ini. Maksudnya, menjadi pemimpin dan pelaksana amal islami dalam keadaan jahil lalu menurut hawa nafsu amat bahaya sekali. Ia akan menatijahkan kerosakan lebih banyak dari kebaikan.

Kerana itu jugalah As Syahid Hasan Al Banna mendahulukan faham sebelum amal, jihad, pengorbanan dan yang lainnya. Jika yang melaksanakan amal dan perjuangan itu jahil dan berpaksikan nafsu, nescaya rosaklah segalanya.
P/s :-
-Memahami tuntutan Aqidah muslim.
-Memahami keberadaan dalam gerakan.
-Memahami erti perjuangan Islam.

2.     2.  Keyakinan
Firman Allah SWT:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal" Surah At Taubah:51

Dengan keyakinan inilah setiap pejuang agama bergerak di muka bumi ini menyebarkan agama Allah tanpa rasa gerun dan takut kepada sesiapapun dari kalangan makhluk. Hanya Allah tempat pergantungan dan kepada keredhaan Allah jua tempat tujuan. Kerana itu jualah kita melihat keberanian yang sangat luar biasa terbit dari peribadi setiap daie dalam menyampaikan agama Allah SWT. Meraka tidak pernah gentar kepada mana-mana pemerintah zalim dan tidak memperdulikan celaan orang yang mencela.

Ketahuilah bahawa, bilamana kita berada di dalam saf perjuangan menegakkan agama Allah, maka itu sebenarnya adalah kerana pilihan Allah SWT. Allah yang memberikan kekuatan untuk kita berjalan di atas jalan ini yang penuh dengan onak dan duri. Ramai yang tidak berupaya untuk berada di medan yang penuh pancaroba ini.

Baginda Rasulullah s.a.w berwasiat disaat khutbah terkhirnya :-
“Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasihNYA. Maka taati dan bertakwalah kepadaNYA. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku ,bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-samaku."
P/s :-
-Yakin dengan janji dan cinta Allah
-Yakin dengan janji dan cinta Rasulullah

3.     3.  Pengorbanan

Seringkali, ini yang sukar kita laksanakan. Bibir memang mudah menuturkan kalimah pengorbanan. Tapi hakikatnya, pelaksanaannya begitu sukar. Mengorbankan kepentingan diri, masa, harta kekayaan,kesenangan dan kemewahan serta soal hati dan perasaan.

Rasulullah s.a.w pernah menyuarakan kebimbangan baginda :-
Demi Allah! Bukanlah kefakiran yang paling aku takutkan bakal menimpa kamu tetapi aku aku takut seandainya kamu akan dibentangkan dunia di hadapanmu lantas kamu bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya sebagaimana umat sebelummu berusaha untuk mendapatkan dunia lantas dunia menghancurkan kamu sebagaimana dunia telah menghancurkan umat sebelum kamu.'
Apa yang dibimbangi Rasulullah adalah satu perkara yang benar.

Namun, Allah memberikan beribu janji di dalam surat cinta-NYA, antaranya :-

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada Dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun Dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah Dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Surah At-Taubah : 41)

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan(balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar. (Surah At-Taubah: 111)

Para sahabat merupakan insan paling menghayati makna sebuah pengorbanan. Saya bawakan disini kisah seorang sahabat bernama Khubaib bin Adiy . Suatu ketika, kaum kafir Quraisy menyiksa  Khubaib Bin Adiy dengan cara mengikatnya pada kayu berbentuk salib. Lalu sejurus kemudian batu, panah, dan berbagai  siksasaan mendarat di  tubuhnya. Setelah puas dengan bentuk penyeksaan yang hebat dan melihat Khubaib tak berdaya, salah seorang daripada kaum kafir Mekkah tersebut bertanya padanya, “Wahai Khubaib, seandainya Muhammad berada di tempatmu (disiksa) sekarang dan menggantikan posisimu. Apakah kamu rela?” 
Khubaib yang mulanya terdiam tak berdaya sekonyong-konyong menatap dengan penuh yakin dan berbicara lantang pada mereka yang kata-katanya sungguh sangat indah dan dikenang oleh sejarah Islam. Khubaib berkata,
 “Demi Allah jika saja Muhammad hanya tertusuk duri sekalipun sedangkan aku saat itu berada di tengah-tengah keluargaku, sungguh aku tak akan rela sedikitpun.”

Jawapan yang sungguh hebat inilah yang kemudiannya dijawab oleh salah satu pemuka kaum kafir Mekkah, “Sungguh tidak pernah kudapati seorang anak manusia pun yang mencintai manusia lain melebihi apapun di dunia ini seperti yang dilakukan oleh para Sahabat Muhammad terhadap Muhammad.”

Subhanallah, itu para sahabat, kita ini sedikit sangat pengorbanan dalam melaksanakan dakwah dan menggerakkan gerakan. Kekadang perlu menepis rasa malas dan culas, dan kekadang juga terpaksa bermujahadah mengenepikan soal hati dan perasaan.
P/s :-
-Berkorban kesenangan dan kepentingan
-Berkorban hati dan perasaan

4.    4.   Jangan kufur nikmat masa

Rasulullah SAW bersabda:
“Dua nikmat yang sering disalahgunakan oleh manusia adalah kesihatan dan masa yang terluang.” (HR Bukhari)

Ibnu Qayyim berpesan “Barang siapa yang masanya digunakan untuk Allah dan dengan Allah, bererti masa itu menjadi kehidupan dan umurnya yang sebenar. Jika digunakan untuk selain itu, maka masanya itu tidak dihitung sebagai sebahagian dari kehidupannya, ia hidup seperti haiwan. Juga ketika ia menggunakan masanya dalam kelalaian, kelupaan dan dalam angan-angan kosong. Perkara mensia-siakan waktu yang paling baik adalah dengan tidur dan tidak bekerja. Maka kematian orang ini lebih baik baginya dari kehidupannya.”

Ambil masa seketika untuk muhasabah sebentar akan masa-masa yang berlalu. Bagaimanakah kita menggunakan masa yang dipinjamkan Allah kepada kita. Ternyata begitu banyak rupanya masa kita berlalu dengan sia-sia.

5.      5.  Ikhlas
Memberi tanpa mengharap untuk dibalas. Memberi tanpa mengharap dipuji. Insan yang ikhlas, kita dapat rasai keberkatan dalam gerak kerjanya. Tutur katanya juga mudah meresap ke dalam jiwa.

Suatu hari, ada seorang sahabat mengajukan sebuah pertanyaan,“Ya Rasulullah, bantulah aku menjawab persoalanku ini. Kiranya engkau dapat menjelaskan kepadaku, apa yang dimaksud ikhlas itu?“Nabi s.a.w bersabda,“Berkaitan dengan ikhlas, aku bertanya kepada Jibril a.s.apakah ikhlas itu?Lalu Jibril berkata,“Aku bertanya kepada Tuhan yang Maha Suci tentang ikhlas, apakah ikhlas itu sebenarnya?“ Allah SWT yang Mahaluas Pengetahuannya menjawab,“Ikhlas adalah suatu rahsia dari rahsia-Ku yang Aku tempatkan di hati hamba-hamba-Ku yang Kucintai”

Ini pula kata-kata Imam Hassan Al-Banna :-"Saya tidak akan menerima sebarang ganjaran daripada manusia. Saya akan menerima ganjaran daripada ALLAH sahaja."

Ikhlas yang paling sukar untuk kita didik didalam hati, sebab itulah mudah sahaja bibir kita merungut tatkala bertimbun gerak kerja, mudah saja hati kita terdetik rasa berat saat banyak masalah dalam gerakan yang perlu kita selesaikan.
P/s :-
-Ikhlas : tangan kanan memberi,tangan kiri tidak tahu
-Ikhlas : semut hitam,berjalan di atas batu hitam, di malam yang gelap gelita.
-Ikhlas : memberi tanpa jemu dan tidak mengharap balasan.

6.       6. Kukuhkan ukhuwwah

Dalam islam, ukhuwwah merupakan satu nikmat yang ALLAH s.w.t limpahkan kepada hati hati yang ikhlas membina persahabatan semata mata kerana-NYA, maka itu timbullah perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain. 

Firman ALLAH s.w.t: 
“Sesungguhnya orang orang yang beriman itu bersaudara.” 

Dan firman-NYA lagi 
“Dan Dialah (ALLAH) yang mempersatukan hati mereka (orang orang yang beriman) walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang berada dibumi,nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati hati mereka, akan tetapi ALLAH telah mempersatukan hati hati mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” 

Kita kembali melihat ke dalam diri apa layak kah kita bertemankan insan yang. Mampu kah kita membawa kebaikan kepada mereka

Rasulullah s.a.w mengambarkan teman buruk ini seperti peniup api., bagaimana Rasulullah s.a.w bersabda: 
“Seseorang itu sesuai dengan agama temannya. Oleh kerana itulah hendaknya seseorang memperlihatkan siapa yang menjadi temannya” (HR Abu Daud, Tirmizi, Ahmad dan Hakim) 

Buat saya dan kalian yang mengaku bersaudara :-

Apabila kita ingin bersahabat, 
Janganlah kerana kelebihannya, 
Kerana mungkin dengan satu kelemahan, 
Kita mungkin akan menjauhinya.. 

Andai kita ingin bersahabat, 
Janganlah kerana kebaikannya, 
Kerana mungkin dengan satu keburukan, 
Kita akan membencinya..

Andai kita inginkan sahabat yang satu, 
Janganlah kerana ilmunya, 
Kerana apabila dia buntu, 
Kita mungkin akan memfitnahnya..

Andai kita inginkan seorang sahabat, 
Janganlah kerana sifat cerianya, 
Kerana andai dia tidak pandai menceriakan, 
Kita mungkin akan menyalahkannya.. 

Andai kita ingin bersahabat, 
Terimalah dia seadanya, 
Kerana dia seorang sahabat, 
Yang hanya manusia biasa.
 p/s :-
-Sahabat : susah senang bersama.
-Sahabat : melihat padanya,kita ingat Allah.
-Sahabat : ikhlas memberi,tidak meminta.
-Sahabat : hingga ke syurga

Ini sahaja yang dapat saya kongsikan dengan teman-teman, moga bisa menjadi matahari buat diri. Motivasi diri penting!! Perlu berterusan dan konsisten kerana jalan perjuangan ini tiada noktahnya, dan jiwa kita kena sentiasa bersedia. Saya menulis perkongsian ini sambil di dalam hati saya berdoa semoga saya mampu menjadi matahari buat diri, semoga saya mampu sentiasa memotivasikan diri sendiri dan teman-teman yang saya sayangi kerana Allah. Dalam hati saya juga gusar memikirkan masa depan generasi yang pernah tangan dhoif ini mentarbiyah mereka. Moga mereka bisa menjadi insan yang jauh lebih hebat daripada diri saya yang sangat dhoif ini.

Saya tersenyum sendiri mengingatkan pada kata-kata yang selalu saya ungkapkan pada teman-teman seperjuangan suatu ketika dahulu,(“,) :-

“Pasakkan satu keyakinan untuk suatu perubahan!!!”

“Kita tak sempat untuk jatuh, tak sempat untuk rebah, kita takde masa untuk melayan perasaan,kerana masa kita tak lama..sekarang,masa kita nak buat gerak kerja dan berjuang!!”

~Kekadang malu juga menghinggap bila mengingat kata-kata sendiri..kerana diri saya juga kekadang ke atas dan kekadang ke bawah~

Nukilan :-
Rohayu Rusli
Aktivis Mahasiswi,
Uni Malaya
13-12-10

2 comments:

Asiah yusro berkata...

segala kebaikan untukmu.... calon bidadari syurga... ameen ^_^

~JunDaTuLLaH~ berkata...

syukran ukhti.. enti pun sama :)

WELCOME TO THIS SITE!