Anas ra. berkata: Rasulullah saw bersabda di dalam satu khutbahnya: "Andaikata kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kau akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.
Hari ini aku juga menangis, menangis dan terus menangis. Tetapi tangisanku amat jauh bezanya dengan tangisan para solihin. Jika para solihin menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat, bagaimana pula aku? Mungkin aku menangis kerana takut kehilangan dunia, atau mungkin kerana takutkan kematianku. Tangisan yang datang dari hati yang lalai dan yang kekadang rapuh.
Kalau para solihin takut berpisah dengan iman dan terluput rasa cinta kepada Ilahi, bagaimana pula diriku? Mungkin aku takut berpisah dengan dunia. Jika mereka takut menghadapi akhirat yang panjang masanya, amat dahsyat keadaannya, tetapi aku bagaikan tenang menghadapinya.
Tetapi tatkala para solihin berani menghadapi gelombang hidup serta ujian dunia, aku pula tersepuk rebah lantaran kecewa kerana gagal dalam hidup. Betapa lemahnya jiwa ini.
Usai sahaja terawih di Masjid Ar-Rahman, aku terfikirkan sesuatu. Saat ini aku masih lagi boleh ke mana-mana mengikut kata hatiku, ke mana sahaja tempat yang aku boleh merasakan Allah begitu dekat denganku. Masih lagi boleh menunggang motosikal ke mana sahaja. Bagaimana pula andai suatu hari nanti, aku buta?? Ditarik Allah nikmat mata? Ataupun di masa hadapan Allah jodohkan aku dengan orang buta ataupun mendapat anak yang buta, saat itu redhakah hati ini menerima ketentuan Allah??
Aku bisikkan pada diri, diri ini perlu di tanam dan di didik dengan kesabaran yang tinggi jua qanaah kerana bila hati dan bibir mulut mengaku beriman, Allah tidak akan membiarkan hambanya tanpa ujian samada kesusahan mahupun kesenangan.
Di sini, aku kongsikan bersama petikan dari kitab Al-Hikam, Ibnu Atho’illah yang sempat aku tatap siang tadi.
“Allah melapangkan bagimu, supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah”
Menangis lagi, wahai mata..minggu ini sahaja kerap benar engkau mengalirkan airmata. Biar aku menangis dalam Ramadhan ini. Susah untuk aku meluah pada manusia. Mungkin kalian mudah melihat hikmah dan mudah menggapai hidayah Allah. Tapi, aku..perlu sentiasa usaha..
~Ya Allah, hamba kembara mencari-MU~
Jundatullah
Kembaraku tiada henti..
Riyadhus solihin
Ramadhan 1431 H
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan