Sahabat...
"Lama aku mencarimu, berharap kita bertemu
Berkeluh kesah sendu, bercerita ini itu
Sahabat...
Kau bagaikan irama dan lagu, buatku selalu rindu padamu 
Kau bagaikan panorama, buatku bahagia dan berguna
kau juga Ibarat seni membelenggu jiwa...

Sahabat...
Rasa suka, rasa duka
Kita rasa bersama
Rindu, kasih dan cinta
Ibarat tali yang terikat
tidak boleh dipisahkan
Walau jarak jauh
Kau tetap di dalam hatiku

akan aku abadikan bersamamu...

...dan, Seorang sahabat adalah;
Sebuah dorongan saat kita berhenti
Sebuah tuntunan saat kita sedang mencari
Sebuah senyuman saat kita merasa sedih
Sebuah lagu saat kita merasa senang
Sebuah cahaya saat kita dalam gelap
Kenangan bumi tarbiyah NP

Aku yang merindui kalian,
Rohayu Rusli

Saya begitu rindu sosok tubuh seorang srikandi. Malah rindu ini makin bertambah apabila melihat sebuah pentomen tentang Zainab al-ghazali yang dipersembahkan oleh adik-adik junior. Menjadi pengadil persembahan pentomen dan lakonan srikandi2 agung di medan perjuangan ini banyak memuhasabahkan diri saya. Airmata menitis melihat persembahan adik-adik tentang Zainab Al-Ghazali, tahniah saya ucapkan pada mereka. Moga jiwa adik-adik juga tegar seperti Bonda Zainab.
Beliau merupakan seorang da’ei wanita yang cukup gigih dalam dakwahnya. Dalam hidup sehariannya, yang ada didalam fikirannya hanyalah bagaimana menyebarkan kebajikan dan membimbing manusia ke jalan yang benar. Beliau memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam. Ketajaman kata-katanya dalam berdakwah memaksa dirinya berhadapan dengan pemimpin yang zalim pada saat itu.
Cinta utama pada sebuah perjuangan
Suatu ketika beliau berbicara dengan suaminya,
Zainab Al Ghazali: Ketika kita sepakat untuk menikah dahulu, ingatkah kau akan apa yang aku katakan kepadamu tempoh hari?

Suami: Tentu aku ingat, kau ajukan suatu syarat. Tetapi masalahnya sekarang aku khuatir atas keselamatanmu, sebab sekarang kau sedang berhadapan dengan sizalim itu (Jamal ‘Abdun Nasr).

Zainab Al Ghazali: Aku masih ingat benar apa yang kuucapkan kepadamu, iaitu:
Kau sebagai calon suamiku harus tahu bahawa aku memikul sesuatu sepanjang hidupku. Kerana kau sudah menyatakan persetujuan untuk menikahiku, maka wajiblah aku untuk mengungkapkan kepadamu dengan harapan agar kau tidak akan bertanya lagi tentang hal itu.


Tanggungjawab berat yang kupikul sekarang adalah kedudukanku selaku Ketua Umum Jama’ah Assayyidat Al-Muslimat. Dan aku tidak akan melangkah mundur atau keluar dari garis perjuangan ini. Aku yakin bahawa memang suatu waktu aku akan jauh melangkah di medan da’wah sehingga akan terasa bertentangan dengan kepentingan peribadimu dan kepentingan perniagaanmu bahkan dengan kepentingan kehidupan suami isteri. Dan apabila yang demikian itu sudah sampai pada posisi sebagai penghalang da’wah dan rintangan untuk mendirikan Negara Islam, nampaknya jalan kita sudah menjadi saling bersimpangan.

Pada waktu itu kau menundukkan kepalamu ke tanah. Ketika aku angkat mukamu , aku lihat air matamu tertahan pada kelopak matamu. Lalu kau berkata, 
“ Mintalah apa saja yang kau kehendaki!”.

Namun aku tidak minta apa pun darimu, tidak juga mas kahwin yang biasa diminta calon isteri dari calon suami. Lalu kau berjanji bahawa kau tidak akan melarang aku untuk menunaikan tugas di jalan Allah….

Aku sudah bertekad akan mengesampingkan masalah perkahwinan dari hidupku, agar aku dapat memusatkan perhatian sepenuhnya ke bidang da’wah. Dan kini bukanlah maksudku untuk meminta kau turut serta dalam jihadku ini, melainkan adalah hakku kiranya untuk meminta syarat darimu agar kau tidak melarangku berjihad di jalan Allah. Dan apabila tanggungjawab meletakkan aku di barisan hadapan para mujahiddin, janganlah engkau bertanya kepadaku apa yang aku lakukan.

Hendaknya antara kita dibina rasa saling percaya. Relakanlah isterimu ini yang sudah menyerahkan dirinya untuk jihad fisabilillah dan demi berdirinya Negara Islam yang sudah menjadi tekadku sejak berusia 18 tahun. Apabila kepentingan perkahwinan berseberangan dengan kepentingan da’wah kepada Allah, maka perkahwinan akan berhenti dan kepentingan da’wah akan terus berlanjut dalam semua kegiatan dan kehadiranku…” Apakah kau masih ingat?

Suami : Ya.

Zainab Al Ghazali: Kini aku mohon agar kau memenuhi janjimu itu. Jangan bertanya aku bertemu dengan siapa. Dan aku memohon dari Allah agar pahala jihad ini dibahagi antara kita berdua bila Dia berkenan menerima baik ‘amalku ini.
Aku menyedari bahawa memang hakmulah untuk memberikan perintah kepadaku untuk aku patuhi. Akan tetapi
Allah swt dalam diriku lebih besar dari diri kita dan panggilanNya terasa lebih agung
Itulah dia..Zainab al-Ghazali, benar-benar member inspirasi kepada kami untuk terus bergerak dan melangkah. Dia benar wanita hebat, mahupun kita masih bertatih, yang hanya punya cita-cita dan cinta yang juga ingin menjadi insane hebat disisi Allah sepertinya.
~yang utama padaku adalah pandangan-MU~
Perkongsian : Rohayu Rusli


Kebangkitan rakyat di Syria mendapat liputan meluas di seluruh dunia. Apatah lagi suara pekikan dan jeritan derita rakyat Syria kini sudah meledak. Laungan untuk menjatuhkan pemerintahan rejim Basyar al-Assad kuat bergema. Namun sekuat itu jugalah pihak kerajaan Syria menekan dan membantai rakyat mereka.
Revolusi yang berlaku sejak 8 bulan yang lalu nyatanya memperlihatkan kekejaman dan penindasan tidak henti terhadap rakyat demi mempertahankan pemerintahan zalim dan diktator. Proses revolusi Syria berlaku dengan rentetan 3 perkara utama iaitu penindasan terhadap rakyat yang tidak pernah berhenti selama 4o tahun, keduanya kebangkitan rakyat di negara-negara arab sekitarnya dan  sejumlah 28 orang kanak-kanak remaja Syria yang menconteng dinding “Rakyat mahu jatuhkan kerajaan” telah ditangkap, diseksa, dicabut kuku tangan dan kaki hingga salah seorang daripada mereka meninggal. Malah suatu kelebihan bila hamper 95% ulama Syria bersama dalam kebangkitan rakyat.
Banyak lagi berita penderitaan rakyat yang dipaparkan di media dan akhbar. Umat Islam menghadapi senjata berat, rumah mereka dirobohkan, dan wanita-wanita muslim disorokkan entah ke mana. Mereka juga diperkosa dengan rakus di hadapan suami-suami mereka. Penderitaan ini mendapat perhatian seluruh dunia Islam bahawa isu ini adalah isu sensitiviti ummat Islam sejagat memandangkan komposisi rakyat Syria adalah 84% merupakan muslim ahli sunnah wal jamaah.
Kerajaan Basyar al-Assad terdesak mempertahankan kedudukannya sehingga memaksa memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan menipu dunia dengan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokongnya. Mereka diugut  dihilangkan pekerjaan mereka jika mereka tidak mahu menyokongnya.
Mahasiswa/wi islam gerakkan kesedaran
Menjadi tanggungjawab mahasiswa dan mahasiswi yang menyandang gelaran aktivis dan pelopor gerakan mahasiswa Islam untuk menjadi penggerak utama menyampaikan kesedaran kebangkitan rakyat di Syria ini sampai kepada rakyat Malaysia. Jika mereka yang diseksa mampu bangkit dengan penuh berani, apatah lagi Malaysia yang tidaklah seteruk rakyat Syria. Berdiam diri dan menutup mata telinga bukanlah sikap mahasiswa Islam. Kesedaran menolak kezaliman itu perlu digerakkan dari akar umbi dengan membawa contoh revolusi rakyat yang berlaku di timur tengah sebagai lonjakan perubahan lanskap pemerintahan di Malaysia.
Tidak guna kita hanya berputih mata melihat derita mereka tanpa kita mengambil spirit kebangkitan untuk digerakkan di Malaysia. Justeru itu, kami di peringkat Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya memandang revolusi Syria dan Negara arab sekitar bukan suatu perkara biasa, malah menjadi cerminan bagaimana rakus dan zalimnya kerajaan bertindak bila kekuasaan mereka diganggu gugat. Tegasnya, kami menolak sebarang bentuk kezaliman yang diperlakukan kepada rakyat.
PMIUM juga menyeru anak muda Malaysia yang berada di Syria tidak ketinggalan dalam revolusi, turut bersuara dan mendesak kerajaan Syria supaya menghentikan kezaliman terhadap rakyat di sana. PMIUM juga menyatakan kepada kerajaan dan pemerintah Malaysia agar tidak diam membisu dalam isu kekejaman rakyat Syria ini, pemimpin Malaysia perlu lebih lantang membantah kekejaman terhadap ummat Islam di sana.
Pola kebangkitan rakyat seolah-olah seperti satu sifir cerminan di mana-mana negara. Di Mesir, rundingan secara aman tidak berjaya memuaskan semua pihak, begitu juga di Libya, Syria, akhirnya kerajaan mereka mengambil pendekatan diktator kepada rakyat mereka. Kerajaan mereka sudah kehabisan idea untuk memenuhi permintaan rakyat. Itulah sebenarnya hasil daripada pemerintahan materialistik. Bagaimana dengan Malaysia? Mungkinkah berlaku sebegitu? Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu bersedia dan anak muda perlu bangkit dengan semangat perubahan.
Bersama menerajui perubahan
Rohayu Binti Rusli
Naib Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
2011/2012

WELCOME TO THIS SITE!