Dulu, berlari-lari kemudian terjatuh. Seorang wanita itu lantas mendapatkan saya memeriksa jika ada luka. Dengan senyuman dia bilang “jatuh sesekali  takpe,tapi kena terus bangkit..”  
Dia, seorang wanita itu. Ibu yang hadirnya sebab hadir saya ke dunia ini. Usia yang sudah menganjak ke dewasa awal ini membuatkan setiap saat  di setiap hari saya amat merindui dia. Ingin sekali berlari pulang ke kampong untuk memandang dan menatap wajahnya.
Ah, hati saya berbunga-bunga, minda saya mula berkhayalan. Indahnya jika setiap masa dan ketika boleh memandang wajahnya.  Mendengar buah nasihat daripadanya supaya saya terus mendaki tangga kejayaan.  Saya benar tidak keruan dek kerana setiap hari dilanda rindu yang membunga mekar, jauh di sudut hati saya berbisik, mungkin doa sang ibu di setiap hela nafasnya membuatkan ruh kerinduan dihatii saya amat mekar padanya.
Saya tidak berapa senang dengan beberapa petikan yang saya lihat dan dengar beberapa hari ini. Hari ibu haram. Saya tidak setuju.  Saya melihat dari perspektif dan kacamata dakwah, jangan kita terlalu keras, terlalu tega dengan sikap kita yang suka menegah. Pada saya, biarkan jika dengan begitu anak muda ini mengaplikasikan konsep ‘birrul walidain’. Mungkin dengan sehari yang mereka ingat itu menjadi peristiwa yang mampu menjadikan mereka mengingat setiap hari.
Biarkan dan katakana iya pada mereka yang menyambut Hari Ibu. Kita yang perlu sentiasa meletakkan martabat dan nilai seorang ibu itu tinggi di dalam ajaran Islam. Terus-terusanlah mengingat dan mendoakan kesejahteraan buat dia yang teristimewa.
Pada teman-teman yang sudah kehilangan ibu, walaupun pada pandangan luaran anda kehilangan mereka, namun kasih dan sayang mereka tidak pernah hilang, malah semakin mekar jika dibajai dengan doa.
Ibu, mata ini ingin selalu memandangmu..


Awan : Hujan, tolong jangan pergi.

Hujan : Awan, ada waktunya melepaskan itu lebih baik. Aku tidak sanggup melihatmu menanggung beban hanya kerana tidak ingin aku pergi.

Awan : Tapi aku masih mampu.

Hujan : *senyum* Ya, mungkin kau masih mampu. Tapi sampai bila kau akan mampu bertahan?

Awan : *diam*

Hujan : Aku harus patuh pada Tuhan kita. Dan kau pun harus akur pada Dia. Dia tahu betapa beratnya kau menanggung beban, kerana itu Dia perintahkan aku untuk turun ke bumi membasahi tanah-tanah gersang yang lebih memerlukan aku daripada kau perlukan aku.

Awan : *mahu menangis*

Hujan : Sungguh, kadang-kadang melepaskan itu lebih baik walaupun saat itu terasa begitu berat sekali. Tapi, Allah kan ada? Mengapa mahu bersedih? *sebak menahan perasaan*

Awan : Pergilah kau Hujan. Aku rela demi Tuhanku. Hanya demi Tuhanku. Terima kasih Hujan. Mendengarmu, aku mengenalku.

Hujan : *Allahu Rabbi* Selamat tinggal Awan. Doakan aku bermanfaat untuk mereka yang lain.

Awan : *airmata jatuh tanpa henti*

Hujan pun turun bersama air mata. Sakit. Saat melepaskan.  Tapi Allah lebih tahu segalanya. Perasaan ini hanya sementara. Mungkin Langit tidak akan mengerti akan kesakitan Awan dan Hujan. Langit hanya menyaksikan. Tapi belum tentu Langit itu faham pengorbanan.
Awan, Hujan menghadiahkanmu Pelangi. Kamu lihat bukan? :’)

This is what we call the sweet pain feeling :’)

Subhanallah Alhamdulillah Allahukbar.

Kemanisan selepas kepahitan.
Kesenangan selepas kesusahan.

:) Istimewa tribute buat warga RS (riyadhus solihin) : 11/12
Dapat ilham masa hujan. Dan sekarang pun tengah hujan.
Allah, baru je cakap rindu hujan, Engkau dah bagi hujan? Terima kasih untuk kasih sayang yang unlimited ini Tuhan :’)



Mahu belajar dengan Awan dan Hujan.

Hilang kata
Lama benar saya tidak menulis, menulis mahupun dengan perasaan atau fikiran. Terlalu lama sehinggakan saya merasa kehilangan kata-kata malah tulisan saya amat tumpul sekali. Bertungkus lumus menyiapkan tesis dalam kepadatan jadual sebagai mahasiswi memang amat memenatkan. Itupun saya memaksa diri menulis untuk memastikan target cemerlang itu dapat saya capai.
Banyak yang ingin saya bicara dan kongsikan, tapi semuanya hilang. Kata-kata saya banyak hilang dalam hati. Hilang dalam fikiran. Yang akhirnya membuatkan mata pena saya tumpul dan terpaksa diasah kembali.
Pernahkah kalian rasa sunyi dalam keramaian? Saat ini begitulah keadaan saya yang kehilangan kata-kata untuk ditulis,dilakar,mahupun dizahirkan. Ianya lebih banyak menari-nari di dalam hati. Sepertimana saya sendiri yang lebih suka mendengar muzik instrumental yang bunyinya tanpa kata-kata.
Kata-kata saya hilang untuk dilafazkan, melainkan ianya bersuara di dalam hati bersama pada Tuhan, sang kekasih Agung. Apakah nilaian saya sebagai seorang hamba kepada-NYA dalam kehidupan yang panjang ini? Apakah saya telah menjadi hamba-NYA yang terbaik? Apakah saya ini akan mati dalam keadaan husnul khatimah.?  
Dalam keadaan hilang kata-kata, saya cuma mampu berkongsi ini :-
“Hai jiwa yang tenang( nafsu mutmainnah) kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhoiNya, maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaku dan masuklah ke dalam Surgaku).” Al-fajr.
Hamba yang faqir
Jundatullah.

Sabtu lepas, saya bersama empat orang rakan aktivis mahasiswi ke Johor menziarahi keluarga arwah Nadhirah @dirang ,kanak-kanak yang dibunuh dan dibakar dalam keadaan sangat tragis. Alhamdulillah, tepat jam 9.45 malam kami tiba di flat sri delima, kediaman keluarga nadhirah dan juga tempat tragedi ngeri itu berlaku. 
Dek kerana kprihatinan kami terhadap kes-kes keganasan wanita dan kanak-kanak yang makin bertambah dari hari ke hari, kami di peringkat aktivis mahasiswi mengadakan kempen tolak keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak. Keganasan terhadap mereka ini bukan sahaja melanggar hak asasi manusia, malah menjadi suatu jenayah yang amat besar.
Kalau dahulu kita dengar Nurin Jazlin, Sharlini dan ramai lagi kanak-kanak yang diperlakukan dengan kejam sedangkan mereka itu masih kecil dan tidak berdosa. Manusia sekarang makin hilang sifat manusiawi hingga sanggup bertindak sedemikian rupa. Saya yang menjadi rakyat Malaysia dan juga seorang mahasiswi amat merasa tidak selamat dalam keadaan sekarang ini dengan pelbagai kes-kes jenayah yang berlaku. Pesan saya buat wanita-wanita, kaum ibu, anak-anak moga utamakan keselamatan diri kalian. Nyawa yang pergi tidak mampu diganti.
Seketika menemui ibu arwah dirang, beliau masih lagi sedih dan terbayang-bayang kenangan bersama arwah. Hati ibu yang kehilangan seorang anak yang masih kecil. Saya dan rakan-rakan yang hadir Cuma mampu memberi kata semangat dan doa moga roh arwah dirahmati Allah. Sesungguhnya untuk melalui ujian kehilangan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Terima kasih pada ibu dirang kerana menerima kehadiran kami walaupun lewat tiba.
Hajat saya ingin menulis panjang, namun perasaan sebu dan sedih menyelubungi diri. Sangat menyeksakan perasaan bagi saya sebagai seorang wanita apabila kerapkali sangat mendapat berita yang tragis berkenaan kanak-kanak dan wanita yang didera. Moga Allah pelihara anak-anak yang masih kecil, yamg masih belum mengerti erti kehidupan di dunia yang penuh dengan cabaran ini.



Hari ini tanggal 26.MAC.. tarikh bermakna buat sahabat kesayangan a.k.a kakak yang setia menemani a.k.a roommate yg menjadi pelangi : Cik Puan Husbah Haris :)
Selamat Ulangtahun kelahiran kakak,
Kalau ditanya kepada saya apa erti hari ini. Saya cukup sedih. Tambah lagi apabila mengenangkan ini adalah semester terakhir saya di Universiti Malaya. Masa yang tinggal tidak lama. Masa dan kesempatan untuk bersama juga hanya tinggal beberapa detik.
Dia sahabat setia disisi saya,
Dia kakak yang paling membuatkan saya bahagia,
Dia teman tika saya berduka dan kecewa,
Dia rakan saat gembira dan ketawa,
Dia.. sahabat setia,
Yang sentiasa ada untuk berkongsi rasa,
Menyubur semangat dalam perjuangan,
Saling meluah lelah dan penat,
**
Saya kehilangan kata-kata,
Cuma hanya ucapan..
‘Selamat Ulangtahun kelahiran’
‘Terima kasih menjadi sahabat setia’
‘Moga bahagia milikmu..’

dan saya tahu.. dia kepingin sekali ingin ke 'sana', dan saya juga begitu.
moga Allah sampaikan kita di'sana' ye :)




Sahabat...
"Lama aku mencarimu, berharap kita bertemu
Berkeluh kesah sendu, bercerita ini itu
Sahabat...
Kau bagaikan irama dan lagu, buatku selalu rindu padamu 
Kau bagaikan panorama, buatku bahagia dan berguna
kau juga Ibarat seni membelenggu jiwa...

Sahabat...
Rasa suka, rasa duka
Kita rasa bersama
Rindu, kasih dan cinta
Ibarat tali yang terikat
tidak boleh dipisahkan
Walau jarak jauh
Kau tetap di dalam hatiku

akan aku abadikan bersamamu...

...dan, Seorang sahabat adalah;
Sebuah dorongan saat kita berhenti
Sebuah tuntunan saat kita sedang mencari
Sebuah senyuman saat kita merasa sedih
Sebuah lagu saat kita merasa senang
Sebuah cahaya saat kita dalam gelap
Kenangan bumi tarbiyah NP

Aku yang merindui kalian,
Rohayu Rusli

Saya begitu rindu sosok tubuh seorang srikandi. Malah rindu ini makin bertambah apabila melihat sebuah pentomen tentang Zainab al-ghazali yang dipersembahkan oleh adik-adik junior. Menjadi pengadil persembahan pentomen dan lakonan srikandi2 agung di medan perjuangan ini banyak memuhasabahkan diri saya. Airmata menitis melihat persembahan adik-adik tentang Zainab Al-Ghazali, tahniah saya ucapkan pada mereka. Moga jiwa adik-adik juga tegar seperti Bonda Zainab.
Beliau merupakan seorang da’ei wanita yang cukup gigih dalam dakwahnya. Dalam hidup sehariannya, yang ada didalam fikirannya hanyalah bagaimana menyebarkan kebajikan dan membimbing manusia ke jalan yang benar. Beliau memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam. Ketajaman kata-katanya dalam berdakwah memaksa dirinya berhadapan dengan pemimpin yang zalim pada saat itu.
Cinta utama pada sebuah perjuangan
Suatu ketika beliau berbicara dengan suaminya,
Zainab Al Ghazali: Ketika kita sepakat untuk menikah dahulu, ingatkah kau akan apa yang aku katakan kepadamu tempoh hari?

Suami: Tentu aku ingat, kau ajukan suatu syarat. Tetapi masalahnya sekarang aku khuatir atas keselamatanmu, sebab sekarang kau sedang berhadapan dengan sizalim itu (Jamal ‘Abdun Nasr).

Zainab Al Ghazali: Aku masih ingat benar apa yang kuucapkan kepadamu, iaitu:
Kau sebagai calon suamiku harus tahu bahawa aku memikul sesuatu sepanjang hidupku. Kerana kau sudah menyatakan persetujuan untuk menikahiku, maka wajiblah aku untuk mengungkapkan kepadamu dengan harapan agar kau tidak akan bertanya lagi tentang hal itu.


Tanggungjawab berat yang kupikul sekarang adalah kedudukanku selaku Ketua Umum Jama’ah Assayyidat Al-Muslimat. Dan aku tidak akan melangkah mundur atau keluar dari garis perjuangan ini. Aku yakin bahawa memang suatu waktu aku akan jauh melangkah di medan da’wah sehingga akan terasa bertentangan dengan kepentingan peribadimu dan kepentingan perniagaanmu bahkan dengan kepentingan kehidupan suami isteri. Dan apabila yang demikian itu sudah sampai pada posisi sebagai penghalang da’wah dan rintangan untuk mendirikan Negara Islam, nampaknya jalan kita sudah menjadi saling bersimpangan.

Pada waktu itu kau menundukkan kepalamu ke tanah. Ketika aku angkat mukamu , aku lihat air matamu tertahan pada kelopak matamu. Lalu kau berkata, 
“ Mintalah apa saja yang kau kehendaki!”.

Namun aku tidak minta apa pun darimu, tidak juga mas kahwin yang biasa diminta calon isteri dari calon suami. Lalu kau berjanji bahawa kau tidak akan melarang aku untuk menunaikan tugas di jalan Allah….

Aku sudah bertekad akan mengesampingkan masalah perkahwinan dari hidupku, agar aku dapat memusatkan perhatian sepenuhnya ke bidang da’wah. Dan kini bukanlah maksudku untuk meminta kau turut serta dalam jihadku ini, melainkan adalah hakku kiranya untuk meminta syarat darimu agar kau tidak melarangku berjihad di jalan Allah. Dan apabila tanggungjawab meletakkan aku di barisan hadapan para mujahiddin, janganlah engkau bertanya kepadaku apa yang aku lakukan.

Hendaknya antara kita dibina rasa saling percaya. Relakanlah isterimu ini yang sudah menyerahkan dirinya untuk jihad fisabilillah dan demi berdirinya Negara Islam yang sudah menjadi tekadku sejak berusia 18 tahun. Apabila kepentingan perkahwinan berseberangan dengan kepentingan da’wah kepada Allah, maka perkahwinan akan berhenti dan kepentingan da’wah akan terus berlanjut dalam semua kegiatan dan kehadiranku…” Apakah kau masih ingat?

Suami : Ya.

Zainab Al Ghazali: Kini aku mohon agar kau memenuhi janjimu itu. Jangan bertanya aku bertemu dengan siapa. Dan aku memohon dari Allah agar pahala jihad ini dibahagi antara kita berdua bila Dia berkenan menerima baik ‘amalku ini.
Aku menyedari bahawa memang hakmulah untuk memberikan perintah kepadaku untuk aku patuhi. Akan tetapi
Allah swt dalam diriku lebih besar dari diri kita dan panggilanNya terasa lebih agung
Itulah dia..Zainab al-Ghazali, benar-benar member inspirasi kepada kami untuk terus bergerak dan melangkah. Dia benar wanita hebat, mahupun kita masih bertatih, yang hanya punya cita-cita dan cinta yang juga ingin menjadi insane hebat disisi Allah sepertinya.
~yang utama padaku adalah pandangan-MU~
Perkongsian : Rohayu Rusli


Kebangkitan rakyat di Syria mendapat liputan meluas di seluruh dunia. Apatah lagi suara pekikan dan jeritan derita rakyat Syria kini sudah meledak. Laungan untuk menjatuhkan pemerintahan rejim Basyar al-Assad kuat bergema. Namun sekuat itu jugalah pihak kerajaan Syria menekan dan membantai rakyat mereka.
Revolusi yang berlaku sejak 8 bulan yang lalu nyatanya memperlihatkan kekejaman dan penindasan tidak henti terhadap rakyat demi mempertahankan pemerintahan zalim dan diktator. Proses revolusi Syria berlaku dengan rentetan 3 perkara utama iaitu penindasan terhadap rakyat yang tidak pernah berhenti selama 4o tahun, keduanya kebangkitan rakyat di negara-negara arab sekitarnya dan  sejumlah 28 orang kanak-kanak remaja Syria yang menconteng dinding “Rakyat mahu jatuhkan kerajaan” telah ditangkap, diseksa, dicabut kuku tangan dan kaki hingga salah seorang daripada mereka meninggal. Malah suatu kelebihan bila hamper 95% ulama Syria bersama dalam kebangkitan rakyat.
Banyak lagi berita penderitaan rakyat yang dipaparkan di media dan akhbar. Umat Islam menghadapi senjata berat, rumah mereka dirobohkan, dan wanita-wanita muslim disorokkan entah ke mana. Mereka juga diperkosa dengan rakus di hadapan suami-suami mereka. Penderitaan ini mendapat perhatian seluruh dunia Islam bahawa isu ini adalah isu sensitiviti ummat Islam sejagat memandangkan komposisi rakyat Syria adalah 84% merupakan muslim ahli sunnah wal jamaah.
Kerajaan Basyar al-Assad terdesak mempertahankan kedudukannya sehingga memaksa memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan menipu dunia dengan memberitahu dunia bahawa rakyat masih menyokongnya. Mereka diugut  dihilangkan pekerjaan mereka jika mereka tidak mahu menyokongnya.
Mahasiswa/wi islam gerakkan kesedaran
Menjadi tanggungjawab mahasiswa dan mahasiswi yang menyandang gelaran aktivis dan pelopor gerakan mahasiswa Islam untuk menjadi penggerak utama menyampaikan kesedaran kebangkitan rakyat di Syria ini sampai kepada rakyat Malaysia. Jika mereka yang diseksa mampu bangkit dengan penuh berani, apatah lagi Malaysia yang tidaklah seteruk rakyat Syria. Berdiam diri dan menutup mata telinga bukanlah sikap mahasiswa Islam. Kesedaran menolak kezaliman itu perlu digerakkan dari akar umbi dengan membawa contoh revolusi rakyat yang berlaku di timur tengah sebagai lonjakan perubahan lanskap pemerintahan di Malaysia.
Tidak guna kita hanya berputih mata melihat derita mereka tanpa kita mengambil spirit kebangkitan untuk digerakkan di Malaysia. Justeru itu, kami di peringkat Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya memandang revolusi Syria dan Negara arab sekitar bukan suatu perkara biasa, malah menjadi cerminan bagaimana rakus dan zalimnya kerajaan bertindak bila kekuasaan mereka diganggu gugat. Tegasnya, kami menolak sebarang bentuk kezaliman yang diperlakukan kepada rakyat.
PMIUM juga menyeru anak muda Malaysia yang berada di Syria tidak ketinggalan dalam revolusi, turut bersuara dan mendesak kerajaan Syria supaya menghentikan kezaliman terhadap rakyat di sana. PMIUM juga menyatakan kepada kerajaan dan pemerintah Malaysia agar tidak diam membisu dalam isu kekejaman rakyat Syria ini, pemimpin Malaysia perlu lebih lantang membantah kekejaman terhadap ummat Islam di sana.
Pola kebangkitan rakyat seolah-olah seperti satu sifir cerminan di mana-mana negara. Di Mesir, rundingan secara aman tidak berjaya memuaskan semua pihak, begitu juga di Libya, Syria, akhirnya kerajaan mereka mengambil pendekatan diktator kepada rakyat mereka. Kerajaan mereka sudah kehabisan idea untuk memenuhi permintaan rakyat. Itulah sebenarnya hasil daripada pemerintahan materialistik. Bagaimana dengan Malaysia? Mungkinkah berlaku sebegitu? Kesimpulannya, rakyat Malaysia perlu bersedia dan anak muda perlu bangkit dengan semangat perubahan.
Bersama menerajui perubahan
Rohayu Binti Rusli
Naib Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
2011/2012

WELCOME TO THIS SITE!