Kuala Lumpur, 27 Dis: Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) menyifatkan keputusan  Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk tidak lagi menapis filem-filem yang disiarkan di Malaysia adalah keputusan yang tidak wajar dan bersikap lepas tangan. SIGMA melalui kenyataan pengerusinya, Saudari Rohayu Rusli mendesak dan menggesa agar LPF menarik balik keputusan untuk tidak menapis filem yang akan berkuatkuasa tahun depan itu.

“SIGMA mewakili seluruh suara siswi melihat LPF seakan berlepas tangan apatah lagi bila melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Mahmood Adam minggu lalu berhubung dengan tiada lagi penapisan filem oleh Lembaga Penafisan Filem Malaysia menunjukkan suatu tindakan yang tidak wajar.apatah lagi beliau juga menyebut bahawa segala urusan perfileman dibawah tanggungjawab pengarah dan penerbit filem tersebut, termasuklah sekiranya terdapat masalah-masalah yang berbangkit kemudian hari”

“Saya melihat tiada satu jaminan yang kukuh diperingkat Kementerian berhubung perkara ini, dan mahasiswa sebagai salah satu entiti dalam masyarakat menilai filem-filem di Malaysia sekarang ini banyak berunsur negatif dan tidak membina. Malah tahun 2011 ini sahaja Malaysia seakan-akan meraikan festa filem hantu dan lucah kerana banyak cerita-cerita hantu dan lucah yang memenuhi pawagam sepanjang tahun ini”

“Apabila melihat tujuan LPF, badan ini jelas ditubuhkan untuk menapis kandungan rakaman untuk filem dan video untuk ditayangkan di Malaysia. LPF ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) dengan tujuan "menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daipada pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif ” jelasnya lagi.

“Dari sisi pandang masyarakat yang menilai, apabila sesebuah filem itu melalui Lembaga Penapisan Filem ianya sesuai untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat”.
 SIGMA juga meluahkan kebimbangan terhadap keputusan LPF dengan senario masyarakat kita yang mudah terpengaruh. Apatah lagi filem-filem tempatan dan barat banyak memberi pengaruh besar kepada perkembangan masyarakat . Merujuk ucapan mantan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Abdullah Badawi dalam Konvensyen LPF pada tahun 2003, beliau menyebut bahawa filem telah dijadikan agen kepada fahaman atau cara hidup anti sosial, anti agama pada dekad globalisasi ini.

Filem menjadi begitu penting dalam proses globalisasi dengan hasrat untuk menjadikan ``satu budaya satu dunia''. Filem-filem Hollywood antaranya telah menjadi pengeksport doktrin penting ke arah ``satu budaya satu dunia''. Memang benar, industri filem adalah sebuah industri hiburan, tetapi filem yang dieksport juga mempunyai nilai-nilai yang bertentangan dengan budaya negara yang mengimport. Ini suatu yang sangat membimbangkan dan kita terpaksa membanteras nilai-nilai yang bercanggah dan membawa idealisme yang tidak sesuai dengan negara ini.


Dalam keadaan Malaysia yang penuh dengan isu masalah sosial ini, SIGMA terus akan mendesak LPF menarik balik keputusannya. Apabila segala tanggungjawab diserahkan kepada pengarah dan penerbit filem, mereka belum tentu mampu untuk sepenuh melakukannya, kerana setiap daripada mereka semestinya mempunyai kepentingan sendiri dan tidak mustahil hal ini boleh menyebabkan pelanggaran disiplin filem di negara ini.

“Saya juga meragui soal moraliti dalam penerbitan sesuatu filem apabila sepenuh tanggungjawab diserahkan kepada pengarah dan penerbit. Malah, jika Lembaga Penapisan Filem tidak lagi menapis filem-filem, apa kayu ukur kepada kesesuaian filem untuk ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat dan tidak melanggar syarat.? Kita masih lagi memerlukan satu badan khas yang bertanggungjawab untuk menapis filem.”

 “Saya juga mendapati banyak pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan LPF, seperti Presiden Persatuan Pena Nasional saudara Saleeh Rahamat dan Presiden Persatuan Veteran RTM saudara Helan Adam yang menimbulkan banyak kerisauan dan masih mengharapkan LPF bertanggungjawab dan tidak berlepas tangan” Tambah Nur Syazwani merangkap Timbalan Pengerusi Sigma.

Sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/2011/12/27/lpf-mahu-lepas-tangan/

0 comments:

WELCOME TO THIS SITE!