“….maka Katakanlah (Wahai Muhammad): "Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; kepadanya Aku berserah diri, dan Dia lah Yang mempunyai Arasy Yang besar." (At-taubah : 129)
Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah,setelah selesai melalui fasa tarbiyah ramadhan dan meraikan kembalinya kita kepada fitrah di bulan syawal, besar dan agungnya nikmat Allah tidak terkira.
Ramadhan melatih kita menjadi hamba yang ihsan disisi Allah. Syawal pula menjadikan kita hamba yang memulihkan kesucian diri dengan nikmat kemenangan. Setiap kehidupan yang dicaturkan oleh Allah kepada kita punyai sejuta hikmah yang tidak terhitung. Yang utamanya, doa dan pengharapan kita kepada Allah dalam keadaan apa-apa sekalipun untuk kita pulang menemui Allah dalam keredhaan itu menjadi matlamat.
Dalam meniti kehidupan, seringkali kita dianugerahi Allah pelbagai ujian. Ujian kesakitan, kehilangan, kemiskinan dan sebagainya. Nyatanya, semua ujian itu bukan Allah mendera kita, tetapi Allah ‘membasuh’ dosa-dosa kita yang tidak terkira banyaknya. Allah juga menguji siapakah di kalangan kita yang imannya kuat dan makin bertambah ketika melalui ujian.
Oleh kerana kita sedar kita hanya hamba, maka jangan kita minta dikurangkan ujian, tetapi mintalah moga Allah sentiasa memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi ujian. Malah, mohonlah walau dalam keadaan sukar dan perit bagaimanapun ujian yang kita lalui, kita masih lagi menemukann jalan pulang kepada Allah, pulang meraih cinta kepada Allah.
Saidina Ali pernah ditanya oleh seseorang. “Wahai Khalifah, bagaimana ingin aku bezakan ujian dan hukuman dalam kehidupan. Jawab Saidina Ali :-“Hukuman adalah bilamana kamu diuji Allah, kamu makin jauh dari Allah, manakala ujian Allah pula apabila kamu diuji kamu makin hampir dan rapat dengan Allah.
Jadi, positiflah dengan setiap yang melanda kehidupan kita. HikmahNYA pasti ada kerana tiada suatu pun perkara yang diciptakan dengan sia-sia, hikmahNYA pasti datang lewat dan cepat.
Rahsia ketenangan hati bila kita memujuk dan mengajak hati kita untuk berbicara tentang redha dan ikhlas atas segala sesuatu yang menimpa. Ketenangan akan kita rasai bilamana Allah sentiasa ada disisi kita.