Perkahwinan Barakah~Az-Zahra’.
Salam kasih sayang. Setelah membaca berkenaan keperibadiaan unggul seorang mujahidah yang banyak memberi inspirasi kepada saya dalam dunia perjuangan ini, Bonda Saidatina Fatimah Az-zahra. Terdetik dihati untuk berkongsi dengan sahabat-sahabat tentang pernikahan barakah Az-zahra. Kebetulan pula fatrah cuti ini ramai aktivis dakwah kampus dari sulbi tarbiyah PMIUM mendirikan Bait Muslim Haraki. Tahniah saya ucapkan. Menangislah syaitan saat sahnya aqad dan nikah, terbina ikatan hidup ummat Muhammad. Moga bait muslim yang dibina dipayungi keberkatan Allah dan bakal melahirkan mujahid dan mujahidah penerus perjuangan.
           
Di dalam buku Raudhatul Muhibbin wanuzhatul Musytaqin, karangan Ibnul Qayyim al-Jauziyah menyebut, puteri Nabi, Fatimah az-Zahra pernah dipinang oleh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman namun ketiga-tiganya ditolak oleh Rasulullah SAW. Kenapa ya? Rupa-rupanya, Rasulullah SAW tidak mahu puterinya dimadukan.

           Saidina Ali menyimpan hasrat untuk memperisterikan Az-Zahra. Namun dia juga pernah merasa kecewa dek kerana hamper tidak kesampaian apabila mendengar khabar tentang 3 sahabat agung masuk meminang. Akan tetapi, sudah taqdir jodoh Ali bersama Fatimah. Saidina Ali nekad menyatakan hasratnya meminang Fatimah kepada Rasulullah. Subhanallah, jawapan yang sungguh indah keluar dari mulut Rasulullah s.a.w : “Ahlan Wa sahlan” 
           
 Pada tahun ke-2 hijrah, Saidina Ali r.a. menikahi Fatimah r.ha. Pernikahan barakah ini berlangsung setelah perang Badar. Demi memiliki cinta penghulu bidadari syurga, Saidina Ali r.a. menjual sebahagian barang miliknya termasuk peralatan perang. Semuanya bernilai  480 dirham.
           
Daripada jumlah itu, Rasulullah menyuruh menggunakan 2/3 daripadanya untuk membeli wangi-wangian dan 1/3 daripadanya untuk membeli pakaian. Rasulullah memasukkan wangi-wangian itu ke dalam bekas mandi dan menyuruh pengantin mandi dengan air itu.
            
Fatimah r.ha redha malah bahagia menjadi isteri Saidina Ali r.a. Meskipun hidup mereka miskin dan serba kekurangan. Biarpun maharnya rendah, dihadiahkan pula mahar itu kepada suami tercinta. Berpindahlah pengantin baru ke rumah suaminya yang tidak memiliki perabot.  Rumah yang sangat sederhana. Hanya terdapat kulit biri-biri sebagai alas tidur, bantal berisi serabut tamar, penggiling gandum, ayakan dan sekantung susu. Letak rumah itu pula jauh daripada rumah Rasulullah SAW. (Rujuk Nisa’ Mubassirat bil Jannah: 209).
           
Rasulullah SAW berperanan sebagai bapa mertua yang terbaik apabila memberikan nasihat yang panjang sebelum meninggalkan anak menantunya mengharungi bahtera rumah tangga bersama. Didekatkan pula anak menantu dengan keluarga baginda apabila memindahkan mereka berdekatan dengan rumah baginda iaitu di salah sebuah rumah pemberian Haritsah r.a. (Rujuk Suwar min hayatis sahabah, 40)
            
Rumah tangga suaminya diuruskan sendiri. Terserlah peribadinya sebagai seorang wanita yang sabar, taat beragama, baik, menjaga kehormatan, qana’ah dan sentiasa bersyukur kepada Allah SWT. (Rujuk al-Siyar: 2/119).

Zikir Fatimah
           Kelelahan menguruskan tugas rumah tangga seharian, mendidik anak-anak, ditambah pula dengan tugas-tugas dakwah menyebabkan Fatimah r.ha teringin mempunyai seorang pembantu. Lagipun, kebetulan pada masa itu Islam mempunyai banyak tawanan perang.

           Kelelahan Fatimah r.ha. bukan sedikit. Jika pada zaman ini, kita hanya perlu ke kedai untuk membeli sebuku roti namun Fatimah r.ha. perlu menggilingnya daripada biji-biji gandum, mengayak, mengadun dan membakarnya sendiri.

           Dipendamkan dahulu niat memiliki pembantu biarpun beberapa kali menziarahi Rasulullah SAW kerana sangat pemalu untuk meminta daripada ayahandanya. Begitu juga suaminya. Namun lantaran berat beban ditanggung, Fatimah r.ha terpaksa meluahkan keperluannya itu pada suatu hari.Kebetulan, kaum muslimin mempunyai beberapa orang tawanan perang yang boleh dijadikan hamba atau pembantu. Fatimah r.ha memohon salah seorang daripadanya. Permintaan itu tidak dikabulkan oleh Rasulullah.

           Hal ini bukan kerana tidak elok memiliki pembantu rumah kerana semua isteri Rasulullahpun mempunyai pembantu rumah. Namun, selaku pemimpin yang adil, Rasulullah SAW lebih mengutamakan untuk memberi makan kepada golongan suffah (golongan merempat yang menumpang tinggal di masjid) dengan duit hasil jualan para tawanan tersebut. Fatimah r.ha. dan suaminya pulang dengan redha.

           Tidak lama kemudian, Rasulullah SAW pula datang ke rumah puterinya. Imam al-Bukhari meriwayatkan bahawa Baginda bersabda,
“Mahukah ayah ajarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diminta? Jika hendak tidur, bacalah takbir 34 kali, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali. Ini lebih baik daripada seorang pembantu.” Lalu, zikir ini terus menemani hayat Fatimah r.ha. Beliau dan suaminya memilih hidup zuhud dan sangat sederhana. (Rujuk Nisa’ Ahlil Bait: 550).

           Itu dia Saidatina Fatimah. Srikandi agung di sisi Saidina Ali. Perkahwinan mereka mulia. Perkahwinan barakah,dalam kesederhanaan membuah kebahagiaan.
 ***
~Tahniah pasangan bait muslim~
Akh Danial & Ukht Salsabil
 **
Akh Khalil & Ukhti Izzah
***
Ukht Nazifah & zauj
***
p/s : kebiasaannya kalau entri pasal bait muslim, mesti teman2 cakap ini sindrom tahun akhir. Tetapi bagi saya tidak, kerana siapa pun anda, tetap berhak memperkatakan tentang apa itu bait muslim yang barakah, kerana ianya salah satu daripada elemen kehidupan :)

Perkongsian bersama,
Rohayu Rusli
Robbi Habli Zaujan Solihan..ameen.

0 comments:

WELCOME TO THIS SITE!